HomeHiburanArtis masih popular sertai GV9

Artis masih popular sertai GV9

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Program realiti TV popular, Gegar Vaganza untuk musim ke-9 (GV9) akan menampilkan 13 penyanyi termasuk yang masih popular seperti Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof dan Tomok.

Turut bertanding adalah Asheed Def Gab C, Dina Nadzir, Haida, Pat Candy, Roy Kapilla, Tom, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman dari Singapura serta peserta berkumpulan, VE.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, musim baharu GV terus berusaha menampilkan peserta-peserta yang memiliki bakat luar biasa sebagai meneruskan kegemilangan musim-musim sebelum ini.

Menurut Raqim, Astro sangat berbangga kerana dapat menarik perhatian nama-nama besar penyanyi tanah air untuk bertanding di sebuah platform yang sudah terbukti kemasyhurannya.

“GV menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk peminat tetapi juga artis-artis sedia ada. GV masih jadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula,” kata Raqim dalam sidang media, malam tadi.

Sementara itu, pada pengumuman penerbitan GV9 oleh Astro sebentar tadi juga, program berkenaan juga akan mengekalkan tiga pengkritik masyhur yang terdiri daripada maestro tersohor, Datuk Ramli MS; biduanita dari Indonesia Hetty Koes Endang dan pensyarah serta penghibur Datuk Syafinaz Selamat.

GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara bersama Elly Mazlein.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30,000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.

Author

Pilihan Editor