KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mendedahkan anaknya yang berusia lima tahun didera oleh isterinya yang didakwa memiliki dua MyKad.
Menerusi akaun TikTok AIMAUTOPART, lelaki itu mendakwa anaknya, Muhammad Daniel Putra dibawa lari oleh isteri dan teman lelaki isterinya ke Thailand pada 16 Mac 2020.
Dia telah membuat laporan polis ketika kejadian namun tiada berita diterima selepas itu.
“Selepas dua tahun berlalu, saya terima video yang mengejutkan dihantar oleh teman lelaki isteri saya menunjukkan bagaimana anak saya dibaling dengan meja kayu yang berat dengan keadaan menangis kesakitan.
“Saya membuat laporan polis sejurus menerima video yang dirakam oleh teman lelaki isteri.
“Isteri saya berasal dari Thailand, dia memiliki dua MyKad, dua nama, dua umur berbeza di Malaysia dan satu dokumen pengenalan dari Thailand.
“Jadi saya bimbang jika berlaku apa-apa atau kematian anak bolehkah isteri saya didakwa,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.
Rakaman video itu mendapat perhatian lebih 90,000 tanda suka, lebih 5,000 komen dan lebih 3,000 perkongsian.
Pemilik akaun berkenaan turut meninggalkan komen mendakwa kejadian berkenaan berlaku di Ketereh, Kelantan, namun membuat laporan polis di Kok Lanas, negeri sama.
Katanya, bukan dirinya membuat rakaman video terbabit sebaliknya, diterima daripada pihak tidak dikenali yang mendedahkan anaknya dalam kandungan rakaman.
Sementara itu, netizen meninggalkan komen pelbagai reaksi antaranya meminta pemilik akaun membuat laporan polis, meminta pihak terbabit menjalankan siasatan dan membuat tuntutan di mahkamah.
Malah ada antara mereka menggesa pihak bapa menuntut anaknya segera daripada berlaku lebih buruk.