ANKARA: Pemain legenda Switzerland Roger Federer yang juga juara Grand Slam 20 kali, pada Khamis mengumumkan beliau akan bersara daripada arena tenis profesional.
“Piala Laver minggu depan di London akan menjadi acara ATP terakhir saya. Sudah pasti saya tetap akan bermain tenis, tetapi bukan di Grand Slam atau jelajah.
“Saya kini berusia 41 tahun. Selama 24 tahun saya sudah bermain lebih 1,500 perlawanan. Tenis merealisasikan banyak impian saya yang tidak pernah saya impikan, dan kini saya sedar sudah tiba masa untuk menamatkan kerjaya saya,” katanya menerusi Twitter.
Federer berkata sejak tiga tahu lalu beliau sering mengalami masalah lutut.
“Saya telah berusaha keras untuk bangkit kembali. Tetapi saya akur terhadap kemampuan badan saya…,” katanya.
Memulakan kerjaya dalam arena tenis profesional pada 1998 dan sejak itu Federer mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain unggul sepanjang zaman.
Ikon Switzerland itu juga memegang rekod merangkul paling banyak gelaran Wimbledon dengan lapan kejuaraan.
“Ini satu keputusan yang pahit, kerana saya akan merindui apa yang saya telah saya lalui sepanjang perlawanan yang disertai. Tetapi pada masa yang sama, banyak juga yang perlu diraikan.
“Akhirnya, kepada sukan tenis: Saya sayang dan tidak akan meninggalkan sukan ini,” katanya. – BERNAMA