KUALA LUMPUR: Bagai sirih pulang ke dagang, begitulah bagi enam lelaki dari Singapura yang membina nama sebagai D’ Otai Boyz, kembali ke Tanah Melayu mencari tuah.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2007 dengan nama asal “The Otai Boyz” terdiri daripada Boy Botak (vokalis), Bagkhai (bassist), Dzul (gitaris), Nas (gitaris), Lokman (keyboard) dan Lee (drummer).
Mengetengahkan lagu malar segar berentak ‘rock kapak’ dengan single bertajuk ‘Permataku’ belum cukup untuk membuatkan nama D’ Otai Boyz dikenali dalam industri muzik.
Kerana itu, kumpulan ini kembali ke Malaysia untuk menempa nama mereka dengan harapan jenama mereka ‘dilihat’ di Singapura.
Lokman mengakui di Singapura kurang sokongan media untuk mendapat publisiti.
“Platform media untuk ketengahkan perkembangan seni di Singapura hanya ada televisyen dan radio dan mereka agak selektif dalam publisiti.
“Sebenarnya ada banyak talent keluarkan single, tetapi mereka macam tak diberi sokongan yang kuat.
“Kami terpaksa buat cara lain, keluar dari Singapura dan masuk ke sini.
“Kami pilih Malaysia sebagai satu usaha pemasaran, tengok macam mana respons daripada pendengar atau follower, baru pergi ke Indonesia.
“Jika sudah ada nama, Singapura akan kenal kita,” katanya pada sidang media di Hotel U3, Shah Alam.
Mereka tiba untuk menghadiri ‘Showcase Bersama D’ Otai Boyz’ dengan peminat di Malaysia dengan membawa tiga lagu medley iaitu berjudul ‘Love Hunters’ yang tidak pernah keluar di radio, lagu dari kumpulan Search, lagu dari Sweet Charity, Kamelia dan Teratai.
“Kami juga bawa lagu single ‘Permataku’, konsep muzik kekal ‘rock’ tetapi tidak terlalu keras,” katanya.
‘Permataku’ ketika ini menerima 55,000 tontonan di Youtube menunjukkan ada penerimaan yang positif terhadap genre lagu yang dibawa.