SETAPAK: Di sebalik kisah viral Paku dan Pontianak, ada insan yang berupaya membawa ribuan bisnes makanan dan minuman (F&B) yang hampir berada ‘nyawa-nyawa ikan’, kembali bernafas, malah lebih berjaya.
Nama Paku dan Pontianak antara yang lahir dari ilham unik insan berkenaan yang juga seorang Pakar Runding Branding, Pemasaran dan Strategi terkenal, Broku.
Broku atau nama sebenarnya, Ku Addy Fazly Ku Radin dalam misi menjenamakan semula bisnes F&B tanpa wujud prejudis persepsi terhadap bidang itu.
Ini kerana, katanya sesetengah pihak menganggap bisnes F&B seperti kasta bawahan meskipun ia bidang perniagaan.
Justeru, beliau akan membantu setiap pemilik bisnes F&B, asalkan diberi keyakinan dan kepercayaan kepada pihaknya untuk membangunkan semula operasi perniagaan dan mengekalkan momentum.
Broku membantu mencadangkan pelbagai alternatif termasuk sama ada menggunakan pemasaran berbayar atau sifar kos yang akan menggunakan apa sahaja daripada pemilik untuk dirombak semula kepada lebih baik.
“Saya akan tanya (pemilik) nak kayuh (berniaga) lagi tak. Tapi kena yakin dan percaya, ini seni dia, (pemasaran).
“Kalau dengan ‘paid marketing’, perlu guna iklan, jurufoto, ‘influencer’, tapi kalau ‘zero cost’, ini kerja gila sikit lah, dan pemilik Paku dan Pontianak yang nama asal restorannya adalah Bobby, yakin dan mahu teruskan,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI di sini.
Bagi Broku, beliau sendiri mengakui ilham Paku dan Pontianak itu adalah paling ‘rare’ dan ‘hidup kembali’ kerana restoran asal yang sudah beroperasi sembilan tahun itu, hampir lingkup akibat kesan pandemik COVID-19.
“Kita kena bagi nama menyentuh, mencuit sikit tanpa main kontroversi. Kedai makan tidak boleh kontroversi, sebab ‘hit’ sekali, ia akan ‘collapse’ sebab tak cukup ‘capital’.
“Orang Melayu suka hantu, jadi kita beri nama yang biasa didengar, tetapi jika ada elemen menakutkan orang tak akan datang semula kerana ia memanggil kontroversi,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai misinya, katanya Broku Marketing Sdn Bhd mempunyai ‘team’ sendiri untuk membantu mengubah landskap F&B.
“Kami satu team, mahu tukar landskap F&B dan ada bahagian masing-masing.
“Ada bahagian menaikkan semula bisnes kembali bernafas, ada bahagian mengembangkan sayap bisnes, pembuatan produk secara ‘homemade’, berniaga tanpa kedai fizikal, pasar tani dan trak makanan.
“Jadi, kita masuk dalam pasaran F&B untuk mendidik usahawan perniagaan F&B ini supaya mendapat ilmu dan seni bidang perniagaan ini, jika tidak ada asas ini, senang gulung tikar,” katanya