PUCHONG: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengumumkan lima hospital dipilih untuk melaksanakan teknologi 5G peringkat awal.
Lima hospital berkenaan adalah Institut Kanser Negara, Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah, Hospital Bera, Pahang erta hospital luar bandar.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan banyak permohonan diterima agar menyediakan solusi 5G.
“Kita sudah buat keputusan akan mulakan dengan 5G.
“Aplikasi 5G adalah berkapasiti tinggi, dengan tawaran lebih baik khususnya untuk pembedahan dan klinikal.
“Hospital-hospital ini dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di negara ini.
“Kita akan kenalpasti kerangka kerja untuk menguji produk di sana,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan dan Inovasi Sandbox (NTIS).
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Sri Dr Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Dzuleira Abu Bakar.
Dalam pada itu, Adham berkata, pemilihan hospital ini atas kesediaan infrastuktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini.
“Satu lokasi di luar bandar iaitu Hospital Bera di Pahang juga telah dikenalpasti bagi pengujian teknologi robot, internet kebendaan perubahan dan kemudahan 4G/5G.
“Keempat-empat lokasi ini akan dikenali sebagai pusat sehenti bagi sektor kesihatan untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia, menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk negara dengan teknologi dan inovasi.
“Berbekalkan visi untuk mentransformasi kehidupan rakyat dengan pewujudan inovasi perubahan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik, inklusif dan lestari.
“Hab Teknologi Kesihatan NTIS bermatlamat untuk memacu pengujian dan pengkomersialan inovasi teknologi kesihatan dalam persekitaran dikawal selia,” katanya
Tambahnya, pusat sehenti bagi sektor kesihatan ini untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia, menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk negara, dengan teknologi dan inovasi.
“Jadi hab ini juga bertunjangkan Internet of Medical Things (IoMT), yang mana peralatan dan aplikasi perubatan membentuk satu ekosistem yang saling berkait menerusi rangkaian komputer dalam talian berupaya mempertingkatkan pengurusan ubat, diagnosis dan rawatan dan pemantauan penyakit kronik dari jarak jauh,” katanya- MEDIA VARIASI