PETALING JAYA: Bagi menghargai jasa dan pengorbanan perajurit negara, seorang kerani Angkasa Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bertekad untuk menyumbang darah kepada Pusat Darah Negara berkali-kali.
Siti Farihah Abdul Samad, 36, berkata keprihatinannya terhadap pengorbanan mereka yang mempertaruhkan nyawa hingga ke titisan darah terakhir, menyebabkan dirinya sanggup mendermakan darah terutama yang memerlukan.
“Jika ada kempen menderma darah terdekat, saya akan pergi. Satu penderma dikatakan boleh selamatkan tiga nyawa.
“Program hari ini mengenang mereka berkorban untuk capai kemerdekaan. Untuk nak capai merdeka, banyak pertumpahan darah.
“Jadi, kita sumbang balik darah kita,” katanya yang berkhidmat sejak 13 tahun lalu.
Penderma darah kali keenam itu juga mengajak orang ramai mendermakan darah kerana nilai darah itu sangat penting bagi mereka yang memerlukan untuk meneruskan hidup.
“Rasa takut juga perlu dibuang, sebab sekarang sudah ada bius sebelum derma darah,” katanya.
Katanya kepada MEDIA VARIASI pada program Kempen Derma Darah CoopCare dengan kerjasama ANGKASA di ibu pejabat ANGKASA, Kelana Jaya, di sini.
Ia diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 bagi menyokong Pusat Darah Negara menampung keperluan bekalan darah negara.
Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah turut melakukan tinjauan di program itu.
Setiap penderma darah menerima baucar bernilai RM50 untuk ditebus guna di outlet Coop Farmasi ANGKASA yang menawarkan produk penjagaan diri dan kesihatan.