Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Kemeriahan Festival Kuih Bulan Kuching (Kuching Mooncake Festival) mempamerkan perpaduan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau tiada satupun negeri di Malaysia menganjurkan festival sedemikian iaitu lebih 40 masyarakat bukan kaum Cina turut serta bersama dalam 180 buah gerai di festival berkenaan.
“Sambutan festival ini wajar dicontohi kerana memerkan keharmonian berbilang kaumnya masyarakat di Sarawak,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI semalam.
Menyifatkan festival tahunan dalam kalendar Sarawak itu sebagai fabrik sosial yang menyatupadukan masyarakat di negeri ini, festival berkenaan tegasnya lagi sebagai ejen pengikat kemesraan semua pihak di negeri ini.
“Ketika saya melalui Carpenter Street ini, saya yakin kamu juga mempunyai perasaan yang sama dengan saya iaitu kita di sini tidak kira apa bangsa anda, para peniaga keluhatan semua bersebelahan menjual makanan kaum masing-masing.
“Tiada perbezaan namun semua kita bergembira dalam Festival Pertengahan Musim Luruh ini,” tegasnya festival 10 hari itu juga memupuk masyarakat saling hormat-menghormati sesama sendiri sambil meraikan perayaan kuih bulan.
Festival Kuih Bulan Kuching merupakan acara tahunan dalam kalendar Sarawak serta pada edisi ke-19 ini ianya berlangsung dari 1 hingga 10 September.
Menjanjikan kemeriahan luar biasa, selain gerai jualan kuih bulan pelbagai jenis makanan tempatan sama ada halal atau bukan halal dihidangkan untuk orang ramai.