HomeBeritaSarawak bakal bina Galeri Ibnu Khaldun

Sarawak bakal bina Galeri Ibnu Khaldun

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) bakal membina sebuah Galeri Ibnu Khaldun dengan kerjasama UiTM Sarawak bagi mempertahankan khazanah Islam untuk dihayati generasi akan datang.

Perancangan itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Menteri Bertanggungjwab Dalam Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Koferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) kali ke-13, hari ini.

“Tumpuan akan menjurus kepada pengumpulan semua maklumat atau khazanah Islam di negeri Sarawak yang disimpan sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di KAIB di Sarawak Chambers, Hotel Riverside Majestic di sini.

Aspek pembangunan galeri ini kata Dr Abdul Rahman mendapat sokongan penuh oleh MIS dalam usaha memastikan hasrat menghimpunkan kajian Islam di negeri ini berjalan lancar.

Justeru, penganjuran KAIB tegas beliau merupakan platform awal bagi mendalami sejarah lama yang ada di Sarawak serta di kepulauan Borneo untuk didokumentasikan.

“Usaha kita (galeri) bertujuan untuk mempertingkatkan inisiatif pengumpulan kajian serta khazanah lama Sarawak untuk diperkongsikan kepada generasi muda yang bakal menjadi pelapis suatu hari kelak,” jelasnya.

Menurut ADUN Pantai Damai ini lagi Islam serta bidang kepimpinan wajar bergerak seiringan agar matlamat dalam memperkasakan martabat agama itu dapat diselaraskan dalam semua aspek.

“Tumpuan untuk memartabatkan agama Islam tidak menjurus kepada Sarawak atau Malaysia sahaja malahan ia akan merangkumi kepulauan Borneo,” ujarnya.

Oleb itu, Dr Abdul Rahman meyakini melalui KAIB berupaya merapatkan intelektual saintis Islam dan negara jiran bagi berkongsi maklumat serta pandangan bagaimana umat Islam seluruh nusantara menerokai manfaat bersama.

KAiB kali ke-13 ini menghimpunkan perserta Malaysia bersama peserta Indonesia, Brunei Darussalam dan Seoul Korea berkampung selama dua hari di Kuching Sarawak bagi membincangkan tema – Peranan IT dan Sumbangan terhadap Institusi Islam.

Author

Pilihan Editor