Oleh: ARRIAN ZAYNE
MARUDI: Projek pembinaan jambatan Marudi yang terbengkalai sebelum ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan ke hadapan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau kerja pembinaan akan dilaksanakan oleh kontraktor penyelamat dengan kos kontrak sebanyak RM 116.5 juta.
“Surat Setuju Terima telah diserahkan kepada syarikat Pekerjaan Piasau Konkrit sebagai kontraktor penyelamat,” katanya berucap ringkas di majlis makan tengah hari sempena lawatan kerja di Marudi semalam.
Beliau berkata lawatan beliau pada kali ini juga untuk meninjau perkembangan mengenai projek pembinaan Tebingan Marudi, projek Water Intake bagi sistem bekalan air Marudi dan kerja-kerja pemulihan Masjid Daerah Marudi.
Mengenai Jambatan Marudi yang pada asalnya ditender melalui tender terbuka kepada Syarikat HKK & Salem pada 2019, beliau menyatakan syarikat menghadapi masalah dan tidak dapat meneruskan kerja-kerja untuk menyiapkan jambatan tersebut.
“Setelah kontrak asal tersebut diberhentikan mengikut proses-proses tertentu barulah kontraktor penyelamat dapat dilantik untuk meneruskan projek,” jelasnya.
Meyakini kontraktor penyelamat akan menyiapkan projek tersebut seperti dalam perjanjian berdasarkan kepada pengalaman syarikat menyiapkan Jambatan Lanang dan Jambatan Long Lama.
“Semua perkakas dan bahan-bahan binaan telah dibawa ke tapak dan kontraktor telah memulakan kerja-kerja tapak untuk menyiapkan projek dalam tempoh 24 bulan,” kata beliau.
Terdahulu Abang Johari telah diberi taklimat mengenai keempat-empat projek tersebut bertempat di Dewan Suarah di sini.