KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya peniaga diingatkan agar tidak menyalahgunakan logo halal kerana perbuatan tersebut dianggap tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata perbuatan itu juga secara tidak langsung mempersendakan kewibawaan pengiktirafan makanan halal yang diperjuangkan selama ini.
“Saya harap jangan ada pihak yang cuba menyalahgunakan logo halal, mempermainkan logo halal kerana ini amat sensitif sebab dalam negara kita ini kita kena menghormati kebebasan beragama,” katanya selepas melancarkan Festival Makanan Halal Tanpa Tunai di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Namun Noh berkata, sijil dan logo halal mampu menjadi daya tarikan kepada usahawan dalam memajukan perniagaan mereka dan harus dimanfaatkan.
Katanya, logo halal khususnya dalam industri penyediaan makanan boleh menarik pelanggan sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam.
Mengulas mengenai festival yang menghimpunkan 150 peniaga makanan halal hari ini, beliau berkata ia akan berlangsung sehingga 23 Sept dan jumlah jualan yang disasarkan adalah sebanyak RM1 juta.
Menurut Noh, tema festival yang menumpukan kepada penjualan makanan halal itu juga bertujuan mempromosi budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna.
Katanya, perkara itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecelikan kewangan Keluarga Malaysia, sesuai dengan peredaran zaman.
“Keluarga Usahawan juga diharap dapat menggunakan platform tanpa tunai sebagai satu daripada enjin pertumbuhan perniagaan mereka, di samping memanfaatkan teknologi agar terus mampan dan lestari,” katanya. – BERNAMA