ALOR GAJAH: Kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan untuk membantu pemain industri berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pembentukan majlis baharu itu dibuat berikutan industri perfileman dan muzik negara mengalami satu lonjakan baharu pasca pandemik COVID-19.
“Kalau kita tengok macam mana hampir RM100 juta dapat dikutip melalui filem Mat Kilau… sekarang ini ada filem Air Force yang sekarang ini sudah mencapai puluhan juta kutipan. Bermakna kalau ada filem berkualiti ia satu industri yang boleh berkembang besar.
“Jadi untuk maju ke hadapan, indsutri perfileman ini kita perlukan tenaga-tenaga pakar untuk memberi nasihat kepada kerajaan serta industri, dan kita pilih tujuh hingga 10 orang daripada industri perfileman dan lagi tujuh hingga 10 orang dari industri muzik untuk menganggotai majlis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Myhtheen Kunju Basheer dan Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum.
Annuar turut mengumumkan Timbalan Speaker DUN Melaka merangkap ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar sebagai pengerusi majlis penasihat berkenaan.
Beliau berkata industri perfileman dan muzik berpotensi besar untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menarik lebih banyak tenaga profesional untuk menyertainya.
Sementara itu Annuar berkata Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat negeri malah komuniti perlu menganjurkannya agar semangat patriotisme itu dapat dibudayakan Keluarga Malaysia.
“Ini adalah penting bagi merakyatkan sentimen dan juga kesedaran tentang kemerdekaan serta pembentukan Malaysia dan ini harus digalakkan dan dilakukan secara berterusan, tidak semestinya pada tarikh-tarikh yang ditetapkan sahaja,” katanya. – BERNAMA