KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menumpukan isu rakyat terutama kesejahteraan dan kesihatan mental ketika ini.
Kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan meningkat ketara, dan nilai matawang negara susut didakwa antara punca rakyat semakin tertekan dan tidak gembira.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan perlu mengenepikan isu politik, sebaliknya menumpukan kerjasama pelbagai pihak menangani isu rakyat khususnya kesihatan mental.
Katanya, sejak pandemik akibat COVID-19 dua tahun lalu, rakyat sangat terkesan dengan ekonomi dan sosial.
“Masalah COVID-19 yang berlaku, menyebabkan rakyat menderita terutama golongan B40, umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Kos sara hidup hari ini melambung naik, masuk kedai makan, beli sayur di pasar semua sudah naik, masalah inflasi.
“Sungguhpun kerajaan cakap ini dalam keadaan terkawal, tapi saya rasa tidak terkawal.
“Saya berharap masalah ini boleh diselesaikan, kerana ia boleh mengakibatkan banyak masalah,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.
Ahli Lembaga Penasihat Biro Pengaduan Awam itu berkata, isu kesihatan mental berkaitan dengan kos sara hidup, malah mengakui fakta daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung statistik bunuh diri baru-baru ini.
“Ini (kes bunuh diri) tidak dapat dielakkan. Fakta diberi KKM membuktikan bahawa kes sebegini meningkat.
“Semua masalah ini memang ada berkaitan, bukan sahaja kos sara hidup, tapi kalau you tanya orang, gembira ke sekarang? Kita nak gembira tapi macam mana nak gembira, ini semua (kos) naik,” katanya.
Berbalik kepada isu kesihatan mental katanya, semua pihak perlu memainkan peranan mendidik masyarakat kepentingan berhubung dengan kaunselor.
“Tak perlu segan, malu, itu bukan alasan untuk tidak berjumpa dengan kaunselor. Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.
“Saya harap pihak kerajaan dapat menyediakan lebih ramai kaunselor supaya menangani isu kesihatan mental dengan berkesan,” katanya.