Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
KFC Perancis melalui barisan tertingginya tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penggempur PSG, Kylian Mbappe yang enggan mengambil bahagian dalam sesi bergambar bersama pasukan kebangsaan Perancis.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Mbappe enggan mengambil gambar kerana isu hak imej dalam pasukan kebangsaan. Sebabnya, dalam sesi bergambar itu terdapat banyak penaja pasukan Les Bleus itu.
Mbappe mahu lebih mengawal hak imejnya. Terdapat beberapa penaja Perancis yang menurut Mbappe tidak sepadan dengan nilainya.
Khabarnya, Mbappe tidak selesa jika hak imejnya dalam pasukan kebangsaan dikaitkan dengan KFC yang merupakan salah satu jenama makanan segera.
Naib Presiden KFC Perancis, Alain Beral, kecewa dengan keengganan Mbappe. Malah, Beral sedia mengambil tindakan terhadap pemain berusia 23 tahun itu.
“Kami telah membayar untuk sesuatu yang jelas. Jika perlu, kami akan menegaskan hak kami,” kata Beral kepada Sport Business Club seperti yang dilaporkan oleh Sportbible.
Bagaimanapun, kenyataan Alain Beral itu kemudiannya mendapat sanggahan daripada KFC Perancis. Mereka juga mengeluarkan kenyataan sendiri berhubung kes ini.
“KFC Perancis kesal dengan kata-kata yang diucapkan semalam dan dilaporkan dalam media pagi ini. Ini adalah pendapat peribadi, tetapi sama sekali tidak menggambarkan kedudukan syarikat itu,” kata mereka kepada Reuters.
“KFC Perancis juga ingin menjelaskan bahawa Alain Beral tidak bercakap bagi pihak syarikat, tetapi dalam konteks perbualan peribadi semasa acara berkenaan fungsinya sebagai presiden Liga Bola Keranjang Kebangsaan.
“Perkongsian antara KFC dan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) sentiasa menjadi kebanggaan syarikat.
“KFC Perancis sangat yakin dengan keupayaan FFF untuk mencari penyelesaian yang memuaskan untuk semua rakan kongsi dan pemainnya, termasuk Kylian Mbappe,” kata kenyataan itu.