ISKANDAR PUTERI: Bekas pemain Arsenal, Mesut Ozil tidak pernah berada dalam perancangan Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk diambil sebagai pemain baharu.
Pemilik Kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah demikian sekali gus menepis desas-desus yang mengatakan bintang kelahiran Jerman itu bakal menyertai kelabnya.
Baginda bagaimanapun memberi bayangan bahawa tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan pemain kelab Sepanyol Sevilla iaitu Papu Gomez sekiranya mampu memberikan komitmen untuk bermain di JDT.
“Saya tidak tahu mana cerita Mesut Ozil ini datang, tetapi jikalau Papu Gomez.. kalau dia boleh memberi saya komitmen dan harga munasabah, insya-Allah. Tetapi Mesut Ozil tidak pernah ada dalam perancangan saya.
“Kalau dia (Ozil) bagus kenapa tidak ada satu pun kelab ambil dia, mungkin ada masalah peribadi, kita tidak tahu, mungkin dari segi sikap… saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana saya tidak kenal dia.
“Tetapi, itu antara faktor kami harus ambil dan buat penilaian, tidak kami terima setakat hendak nama besar sahaja dalam JDT, saya hendak keputusan, kejayaan dan bukan jadi populis,” titah baginda dalam Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Baginda pada masa sama bertitah tidak mahu JDT dijadikan sebagai kelab persaraan untuk mana-mana pemain dunia dan menjelaskan hanya pemain yang mampu memberikan komitmen dan sanggup berjuang bermati-matian untuk pasukan berada di kelab itu.
“Saya rasa, saya tidak akan bayar pemain yang tidak akan lari tiga meter dalam padang. Di Johor tidak ada superstar, yang ada, pemain yang memberi komitmen dan sanggup bermati-matian antara satu sama lain, komited untuk menyerang dan bertahan sebagai satu unit,” titah baginda.
Baginda juga bertitah penyertaan JDT III dalam pertandingan bola sepak kompetitif seperti Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada masa sama mampu memberikan pendedahan kepada pemain sekali gus memperbaiki prestasi pemain.
Perjuangan JDT III pada Sukma ke-20 berakhir di peringkat suku akhir setelah tewas 4-5 menerusi sepakan penalti ketika berdepan Wilayah Persekutuan setelah terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.
Sementara itu, Tunku Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet Johor atas kejayaan mendahului tangga teratas carta kutipan pingat Sukma ke-20.
Setakat semalam, Johor mendahului kutipan pingat pada temasya sukan dwitahunan itu dengan 50 pingat emas, 31 perak dan 21 gangsa diikuti Terengganu 26 emas, 26 perak dan 24 gangsa. – BERNAMA