KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu semua anak buahnya melupakan kekalahan kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lepas.
Sebaliknya pengendali Skuad Penyu itu mahu para pemainnya memfokuskan kepada perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.
Nafuzi berkata, TFC perlu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut untuk merebut kedudukan tiga teratas liga, seterusnya melayakkan mereka beraksi di pentas lebih besar iaitu Piala Asia pada tahun hadapan.
“Paling penting sekarang ini untuk kembalikan motivasi pemain kepada tahap yang tinggi selepas mood yang suram akibat kekalahan kepada JDT pada perlawanan akhir Piala FA.
Kita dah banyak keciciran mata selepas kalah dengan pasukan yang tidak sepatutnya dalam liga. Kali ini pemain kena ambil kesempatan cipta kemenangan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Nafuzi, selain mengembalikan semangat dan motivasi pemain, beliau juga perlu memastikan skuadnya bebas daripada masalah kecederaan dan kecergasan selepas mengharungi perlawanan berintensiti tinggi dengan JDT.
Namun, beliau tidak bercadang untuk melakukan rombakan atau perubahan besar pada skuad utama yang akan diturunkan pada perlawanan menentang skuad Harimau Kumbang itu nanti.
“Daripada segi giliran pemain, saya tak fikir nak buat begitu, mungkin kekalkan atau perubahan kecil sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada tiga anak buahnya yang terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi Kejohanan Piala Raja Thailand yang akan berlangsung di Chiang Mai bermula 22 hingga 25 Sept ini.
Tiga pemain tersebut ialah penjaga gol, Rahadiazli Rahalim; pemain pertahanan, Azam Azmi Murad dan pemain sayap lincah, Faisal Halim.
“Pendedahan ini bagus untuk pemain muda seperti Rahadiazli dan Azam untuk merasai pengalaman beraksi bersama pemain senior,” katanya. – BERNAMA