KUALA LUMPUR: Telahan netizen terhadap status jantina bayi dalam kandungan pelakon dan model, Tasha Shilla, terungkai bahawa ia adalah perempuan.
Tasha Shilla atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak, 35, tidak lagi berselindung di sebalik status jantina kandungannya yang kini memasuki usia 38 minggu.
Ini kerana, nama Naila tidak lekang di bibir isteri kepada Muhammad Atiq Idris, ketika mengusap lembut perutnya, lebih-lebih lagi jika dipeluk anak sulung lelaki, Raees Zander, berusia setahun.
Lebih menarik lagi, kata Tasha Shilla, Naila sebenarnya sudah pun mendapat ‘tawaran’ berlakon ketika berusia enam bulan dalam kandungan, dan ketika itu menjalani penggambaran telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan terbitan Zeel Production, bulan puasa lalu.
Kata pelakon Tentang Dhia itu, ketika itu dia mengidam untuk berlakon, dan menganggap ia rezeki Naila, diberi peluang menjalani penggambaran selama lima hari.
“Panggil nama Naila ni, saya memang terkeluar (panggil) sendiri. Masa awal dapat tahu (kandungan), usia kandungan dah masuk enam bulan, dan masuk tujuh bulan pula dapat offer daripada Zeel. Saya ambillah, masa tu teringinnya… ( nak berlakon), rezeki Naila.
“Saya dapat berlakon telefilem semasa bulan puasa, itu pun lima enam hari ‘shooting’. Rindu (berlakon) ada, tapi saya simpan dulu. Cuma, Zeel ada maklum kalau dah ready, beritahu dia,” katanya.
Tasha Shilla berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Koleksi Terbaharu Pakaian Dalam Plie Malaysia yang diusahakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Plie Malaysia, Adeline C, di pusat beli belah Bangsar, di sini.
Tasha Shilla kini bahagia melalui fasa kehidupan dan menjalani tugas sebagai isteri dan ibu yang diimpikannya selama ini.
Pelakon Heroin Baru Terhebat Blockbuster 2012 itu sememangnya belum bersedia untuk kembali berlakon dan mahu memberi fokus pada suami dan anak dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun, sebelum diri sendiri.
Katanya, terpaksa menolak tawaran berlakon buat masa ini, meskipun menerima tawaran lain yang kurang membebankan seperti kolaborasi sebagai duta barangan bayi, ketika ini.
Malah, katanya, selepas kelahiran kedua itu, Tasha Shilla dan suami mahu merancang kehamilan, dan merehatkan diri.
Tasha Shilla sebelum ini pernah berkongsi pengumuman berita gembira hamil anak kedua awal tahun ini, menerusi hantaran Instagramnya dan dikatakan sering bersolek sepanjang tempoh kehamilannya.
Tasha Shilla dan Muhammad Atiq mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 2020 selepas lima hari pertunangan, dan dikurniakan seorang cahaya mata Raees Zander.
Mengulas lanjut mengenai sikap terbuka Tasha Shilla mengenai anak, dia memilih untuk berkongsi perkara baik dengan peminatnya terutama mereka yang mahu menimang cahaya mata.
“Saya jenis ‘light and easy’. Benda baik, saya kongsi. Niat saya kongsi kegembiraan dan mengharapkan mendoakan mereka juga dapat kegembiraan sama kerana mereka juga berhak bahagia.
“Cuma, pada mereka (tidak dedah wajah anak), itu hak masing-masing,” katanya.