PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jumaat lalu, sebagai kes elektif dan bukan kecemasan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini, berkata pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.
Beliau berkata pihak HKL telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya dengan keputusan ujian-ujian dimaklumkan mengikut amalan professional kedoktoran.
“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau (Najib) dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL,” kata Dr Noor Hisham bahawa keadaan Najib adalah sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL.
Beliau turut memaklumkan bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketika Najib dilaporkan dimasukkan ke HKL, laporan memetik hantaran anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, di Instagram, bahawa bapanya mengalami sakit perut ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib, atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dilaporkan hari ini perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi disingkatkan kerana tekanan darah beliau berada pada tahap tinggi dan berbahaya berikutan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser dalam perutnya.
Nooryana Najwa dalam satu hantaran di Instagram miliknya hari ini berkata ayah beliau telah menjalani ujian kolonoskopi pada Sabtu lepas dan doktor menemui beberapa ulser baharu di dalam perutnya.
Katanya, doktor di HKL membuat biopsi yang menyebabkan pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.
Dr Noor Hisham berkata KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah,” katanya. – BERNAMA