SHAH ALAM: Penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah tetap diteruskan kerajaan negeri bagi mengelak risiko dikenakan tindakan undang-undang oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di tanah tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri hanya meneruskan siar warta bagi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei lepas bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.
“Kalau tidak meneruskan siar warta itu, kerajaan negeri akan berdepan saman sebab syarikat berkenaan akan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (kerajaan sebelum ini),” katanya kepada media selepas hadir di program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor 2022 di sini hari ini.
Namun, katanya anak syarikat negeri yang mempunyai kepentingan di hutan tersebut akan diminta untuk tidak meneruskan projek pembangunan mereka kecuali yang membabitkan kepentingan awam seperti pembinaan jalan dan tanah kubur.
“Tapi kalau ia membabit syarikat swasta, apa upaya kita sebab ia adalah keputusan kerajaan sebelum ini. Kita tidak ada ruang kecuali bersedia untuk membayar ganti rugi,” katanya.
Amirudin berkata demikian susulan sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Hutan Simpan Bukit Cherakah telah 22 kali dinyah warta sejak 1924.
Berkenaan cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang didakwa akan dibina di 90 buah rumah Taman Kencana, Ampang tanpa pengetahuan kerajaan negeri, Amirudin berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi.
“Perkara tersebut perlu dimeterai dengan kerajaan negeri kerana perlu dipastikan jajarannya terlebih dahulu oleh kerajaan negeri memandangkan ia melibatkan pengambilan tanah.
“Saya pasti perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi untuk kita melihat jajaran dan kesannya dan masalahnya,” katanya. – BERNAMA