Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: The Gadys memulakan kerjaya nyanyian menerusi single raya berjudul Gadys Raya yang dilancarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Dianggotai oleh Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini, mereka punya impian besar untuk berjaya dalam bidang muzik setanding dengan ‘girl group’ sedia ada.
Malah, kumpulan baharu hasil kerjasama Universal Music Malaysia dan Valient Music ini juga optimis mampu pergi lebih jauh dengan karya yang dihasilkan.
Buktinya, mereka yang mempunyai lebih 200,000 pengikut dan mendapat lebih 2.8 juta tanda suka di TikTok cukup untuk memperkenalkan lagi nama The Gadys.
Enggan menunggu lama, The Gadys muncul dengan single Gelek Jambu yang menggabungkan eleman reggaeton, rock dan tradisional.
Nelissa Nizam yang mewakili The Gadys berkata, lagu terbaharu itu adalah karya yang unik, segar dan sesuai untuk pasaran muzik semasa sekali gus bakal menarik perhatian pengguna laman sosial terutama di TikTok.
“Lagu Gelek Jambu ini sangat ‘fun’, ‘cheeky’dan ‘mess’ sebab ada pelbagai stail. Ada ‘cute’, reggaeton, rock dan tradisional sebagai muzik latar.
“Lagu ini mengisahkan mengenai bagaimana The Gadys bersikap sambil lewa dalam perhubungan. Jika tak suka dengan cara pasangan tu, jika ia toxic, buang jauh-jauh dan berseronok dengan orang lain yang penting iaitu rakan kita, The Gadys,” katanya.
Menurut Aznie Azmi, proses rakaman lagu Gelek Jambu banyak dibantu oleh Mage dan Glowrush.
“The Gadys bukan hanya menyanyi biasa, tetapi kita menyanyi dengan karakter dan emosi daripada setiap lirik yang dinyanyikan. Sehingga waktu saya kena nyanyi bahagian saya, Glowrush suruh pegang gitar seolah ‘rockstar’, pegang beg dan cawan seolah perempuan yang jual mahal.
“Dalam erti kata lain, proses rakaman sangat seronok walaupun diulang banyak kali. Namun, kami dapat menunjukkan dan memberikan yang terbaik dengan bantuan Glowrush dan Adib,” katanya.
Bagi Ayunie Rizal pula, bukan sahaja proses rakaman yang seronok, tapi penggambaran video muzik (MV) juga membuatkan masing-masing tidak sabar untuk menunjukkan hasilnya kepada peminat.
“Proses rakaman MV sangat seronok. Sebab sepanjang proses menyiapkan lagu Gelek Jambu ini ini dari proses penghasilan lagu hingga rakaman MV selesai semuanya berjalan lancar dan dibuat dalam suasana yang menyeronokkan.
“Kami menjalani penggambaran selama 24 jam, tapi pukul 5 pagi pun kami masih bertenaga untuk meneruskan penggambaran dalam menghasilkan MV Gelek Jambu. Pihak produksi juga memberi aura dan semangat yang baik. Kami sukakan semua set, ‘feel’, ‘look’ dan visual untuk MV ini,” katanya.
Gelek Jambu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys.