KUALA LUMPUR: Tiga asas penting yang perlu ada pada usahawan untuk berjaya, tanpa asas ini akan menyebabkan apa-apa perniagaan yang diusahakan gagal.
Setiausaha Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen (MPUKP) Gombak, Rashiddin Ahmad berkata, satu kajian telah dibuat di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati terdapat tiga kelemahan membawa kegagalan usahawan.
“Pertama adalah sikap dan pemikiran yang negatif, kurang keyakinan dan gagal berkomunikasi.
“Sebagai contoh kamu ada syarikat, kamu ada produk tetapi malu atau bersikap diam diri untuk memperkenalkan produk kamu.
“Gagal berkomunikasi dengan pekerja atau dengan ejen jualan, atau gagal berkomunikasi dengan pelanggan akan membawa kegagalan.
“Perkara kedua adalah pemasaran, jika strategi pemasaran lemah, tidak bersungguh mengetengahkan produk sendiri tetapi mengharapkan ejen jualan semata-mata juga adalah satu sikap yang gagal.
“Perkara ketiga adalah pengurusan kewangan dan perakaunan. Ramai usahawan yang bertahun-tahun simpan resit, tak isytihar cukai selepas lima tahun baru nak audit memang nak bayar pengsan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau yang hadir mewakili Pengerusinya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata demikian pada program Kursus Keusahawan MPUKP Gombak anjuran PPPKM Gombak yang dihadiri kira-kira 40 ahli persatuan di Bangunan SME Corp, Platinum Sentral, di Kuala Lumpur Sentral, di sini.
Turut hadir, Eksekutif Kanan SME Corp, Zulkarnean Zainol Abidin dan Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan (PPPKM) Gombak Selangor, Fatimah Hamid.
Hala tuju majlis ini adalah untuk membantu usahawan meningkatkan cara komunikasi berkesan dan lebih menyakinkan orang ramai.