KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengelar PAS sebuah parti kafir kerana sanggup ‘melacurkan diri’ demi bersama UMNO.
Mahathir berkata, hingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa UMNO adalah parti kafir.
Maka dengan tindakan kerjasama UMNO dan parti bukan Islam, menunjukkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.
“Parti PAS ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu PAS kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.
“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.
“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran PAS, PAS sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama PAS itu adalah kafir,” katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, Mahathir merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia, ‘Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara’ di sini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada April 1981 melalui Amanat Haji Hadi dikatakan mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.
Namun pada 2019, PAS bekerjasama dengan musuh tradisinya, UMNO di bawah semangat ‘perpaduan ummah’ atas nama Muafakat Nasional (MN).
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan PAS yang dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pada masa sama, Mahathir berkata, PAS kini dilihat seolah-olah sebuah parti yang oportunis dengan mengenepikan prinsip apabila peluang mendapatkan jawatan dan kedudukan ‘terbentang’ di hadapan mereka.
“Jadi kita tidak tahu apa sebabnya PAS ditubuh sama ada untuk Islam atau hendak jadi wakil rakyat dan menteri besar, …jadi wakil rakyat dan menteri besar dapat gelaran YB, YAB dan dapat duit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, pihaknya mengakui ramai pihak yang tampil menyuruhnya kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri kali ketiga sekiranya gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpinnya menang PRU15.
“Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh, …waktu ini (saya) tidak buat keputusan apa-apa, saya tidak tolak dan tidak terima,” katanya.
Mengenai pendaftaran GTA sebagai gabungan parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bekas perdana menteri itu berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu akan diputuskan ROS bulan depan.
Pihaknya mengharapkan pendaftaran itu dapat diluluskan secepat mungkin bagi memudahkan urusan gerak kerja bagi berdepan PRU15.
GTA sudah menyerahkan permohonan pendaftaran sebagai gabungan parti politik kepada ROS pada 6 September lalu.
Ketika ditanya adakah GTA akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, Mahathir berkata, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang terbabit dengan rasuah atau ‘bersubahat’ menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
Semalam dalam catatan Minda Presiden, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PH berikutan pengalaman persefahamannya sebelum ini dengan beberapa parti yang ada bersamanya.
Menurut Hadi, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.
Malah katanya, ia khusus membabitkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).
“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat.
Walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU14 kerana salah laku dan rasuah.
Tempoh PH memegang Kerajaan Pusat. Walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU14 kerana salah laku dan rasuah.
“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.
“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” katanya
Abdul Hadi berkata, dalam PH juga terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
Bahkan dakwanya, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi.
“Islam yang menjadi akidah perjuangan PAS menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. Maka, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.
“PAS tetap mempertahan hak Melayu, Bumiputera dan Islam termasuk bahasanya menjadi teras kepemimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.
“Namun, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Hadi berkata, PAS menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.
PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.
“Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik.
“Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat,” katanya.
Justeru, Abdul Hadi berkata, pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu
pengalaman yang cukup matang kepada parti itu untuk mengenalinya secara lebih dekat.
“PAS juga pernah bertahaluf dengan pihak lain sama ada berhaluan kanan mahupun kiri, sejak sebelum merdeka sehingga selepasnya. PAS tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.
“Namun, PAS tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah. PAS tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi,” katanya