KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kedai termasuk sebuah kedai menjual emas musnah dalam kebakaran di Jalan Pasar, Pekan Baru Serdang dekat sini, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan kedai berstruktur kayu dan batu itu pada 4.15 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Bandar Tun Hussein Onn, Bangi dan Seksyen 7 tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan.
“Apabila anggota sampai, kebakaran melibatkan 70 peratus dan merebak ke kedai yang berhampiran namun setakat ini tiada mangsa yang dilaporkan terbabit.
“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA