HomeSukanEPL: Arsenal kenduri gol kalahkan Forest, kembali ke puncak liga

EPL: Arsenal kenduri gol kalahkan Forest, kembali ke puncak liga

ARSENAL kembali ke tangga teratas liga setelah beraksi cemerlang menewaskan Nottingham Forest 5-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/2023, di Stadium Emirates, pada malam tadi.

Reiss Nelson yang dimasukkan pada minit ke-27 menggantikan Bukayo Saka yang ditimpa kecederaan menjaringkan dua gol dan satu hantaran.

Gol pertama pasukan The Gunners terhasil di awal permainan minit ke-5 hasil tandukan Gabriel Martinelli melalui hantaran lintang Saka.

Nelson yang turun kali pertama beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini setelah direhatkan akibat kecederaan meledak gol pertamanya dalam perlawanan di minit ke-49 dan menambah jaringan tiga minit kemudian.

Thomas Partey menyempurnakan hantaran Nelson dengan menjaringkan gol lencongan sekaligus menewaskan penjaga gol, Dean Henderson untuk meletakkan Arsenal selesa mendahului 4-0.

Kapten Martin Odeegard melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal menerusi gol kelima ketika permainan berbaki 13 minit sebelum wisel penamat.

Pemain-pemain Arsenal turut menunjukkan solidariti terhadap rakan sepasukan, Pablo Mari sebelum perlawanan berlangsung

Mari, yang dipinjamkan ke Monza, telah ditikam dengan pisau ketika di sebuah pasar raya di Itali minggu lalu.

Arsenal kini kembali ke tangga teratas liga dengan 31 mata dari 12 perlawanan memintas Manchester City yang mengalahkan Leicester City 1-0 pada Sabtu lalu.

Author

Pilihan Editor