HomePendidikanAeU perkenal akreditasi pembelajaran berasaskan pengalaman, lancar APEL Q, APEL CENTRE

AeU perkenal akreditasi pembelajaran berasaskan pengalaman, lancar APEL Q, APEL CENTRE

 

SUBANG JAYA: Asia e University (AeU) hari ini melancarkan Accreditation Of Prior Experiential Learning for Award of Academics Qualification (APEL Q) (akreditasi untuk pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu bagi penganugerahan kelayakan akademik) dan APEL Centre, sekali gus mencatatkan pencapaian penting dalam sektor pendidikan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof Mohammad Shatar Sabran berkata, AeU memainkan satu peranan besar yang selari dengan agenda negara untuk mewujudkan masyarakat berilmu yang menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara,

Katanya, ini dilakukan universiti itu dengan mengenal pasti pekerja mahir menerusi pelaksanaan akreditasi tersebut iaitu akreditasi pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

“Inisiatif ini akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan sosial komuniti dalam menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi,” katanya selepas Majlis Pelancaran APEL Q dan APEL Centre di sini hari ini.

APEL Q ialah mekanisme pembelajaran yang mengiktiraf pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu seseorang individu yang relevan dan spesifik kepada sesuatu program pengajian.

Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang diperoleh menerusi pembelajaran secara formal dan tidak formal.

APEL Centre pula berfungsi membimbing dan menyokong calon berpotensi yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian mereka pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Naib Canselor AeU, Tan Sri Prof Emeritus Nik Mustapha Raja Abdullah berkata, bagi tahun ini, AeU merekodkan sekitar 70 orang calon yang mengikuti inisiatif APEL Q menerusi pelbagai program.

“Majlis ini diadakan tepat pada masanya iaitu pada ketika AeU akan menyambut Upacara Konvokesyen dan Graduasinya Ke-11 bagi kumpulan perintis APEL Q melibatkan enam doktor falsafah dalam Pengurusan Perniagaan dengan dua lagi pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Digital Creative Media,” katanya.

Nik Mustapha berkata, AeU telah menghasilkan lebih 25,000 lulusan sepanjang 15 tahun beroperasi dan universiti itu tidak asing kepada pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu, memandangkan kebanyakan pelajarnya adalah golongan dewasa yang bekerja. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor