GEORGE TOWN: Ketika Malaysia semakin menghampiri status menjadi ‘negara tua’, peranan ahli farmasi di negara ini digesa supaya melengkapkan diri dengan lebih baik untuk memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif kepada orang ramai untuk jangka masa panjang.
Justeru, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS)-Pulau Pinang, MPS Young Pharmacist Chapter-Pulau Pinang dan Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (Cawangan Utara) telah bekerjasama untuk menganjurkan Konvensyen Ahli Farmasi Pulau Pinang (PPC) 2022 bagi membantu ahli farmasi menjalankan peranan mereka dengan lebih berkesan.
Pengerusi Penganjur PPC 2022, Tan Zhi Kai berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas telah meningkat kepada 7.3 peratus berbanding tujuh peratus dalam tempoh hanya setahun.
“Saya berharap konvensyen yang bertemakan Aging and Geriatric Health (Penuaan dan Kesihatan Geriatrik) ini dapat membantu meluaskan pelbagai pengetahuan dalam kesihatan penuaan dan geriatrik. Saya percaya semua ahli farmasi boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas,” katanya dalam ucapan perasmian di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Dr Norlela Ariffin berkata konvensyen ini adalah platform yang ideal untuk ahli farmasi kerana ia akan membantu meluaskan pengetahuan mereka dalam kesihatan penuaan dan geriatrik, sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada amalan mereka.
Beliau berkata Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ menjelang 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas, manakala penduduk warga emas di Pulau Pinang dijangka meningkat kepada 26.2 peratus menjelang 2040.
“Dengan kemuncak pandemik COVID-19 telah berlalu, tidak seharusnya membayangi kesejahteraan penduduk warga emas dalam masyarakat kita kerana mereka adalah harta dalam masyarakat kita,” tambahnya. – BERNAMA