KUALA LUMPUR: Aizat Azam, peguam yang sedang meningkat naik dan berani mempertaruhkan tawaran serampang dua mata, dalam kepimpinan legislatif dan kebajikan rakyat.
Pemuda berusia 30 tahun dengan nama sebenarnya, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, adalah EXCO Pemuda UMNO, komited dalam usaha merealisasikan tawaran dikemukakannya sekiranya terpilih sebagai muka baharu oleh kepimpinan tertinggi untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Anak jati kelahiran Kedah itu, juga tidak akan berganjak dari Parlimen Merbok jika tercalon, kerana mahu menumpukan beberapa isu yang tidak selesai berpuluh tahun di kawasan itu khususnya isu bekalan air, kepadatan penduduk, jaringan jalan raya sesak, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok ini juga memegang porfolio sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar melihat kepentingan dan kesejahteraan rakyat di Merbok secara amnya diutamakan.
“Jika saya tercalon, janji pertama saya, cari jalan selesaikan isu yang tak selesai 25 tahun lalu iaitu bekalan air kepada penduduk di sekitar Parlimen Merbok dan Tanjung Dawai, di Bukit Selamba pun ada masalah sama.
“Ini kerana, masalah bekalan air seolah sudah menjadi rutin terpaksa, kalau ada air dua minggu tak putus itu satu perkara luar biasa.
“Masalah infrastruktur ini negara yang sepatutnya dah jadi negara moden ke arah teknologi, tak patut lagi dihadapi rakyat,” katanya pada sidang media sesi ramah mesra bersama media di sini.
Selain daripada itu, Aizat berkata, beliau mahu wujudkan Ahli Parlimen yang benar-benar boleh menjalankan fungsi legislatif dengan baik.
“Mungkin ramai tak sedar, kita perlu peranan legislatif yang baik dalam penggubalan undang-undang supaya undang-undang tergubal tidak dipertikai lagi.
“Pengundi dan rakyat perlu faham, nak pilih wakil rakyat bukan hanya perlu bagus bekerja dalam bab kebajikan rakyat, tapi perlu berkebolehan untuk menjadi anggota legislatif.
“Peranan Ahli Parlimen cukup besar terutama dalam hal melibatkan pembentangan rang undang-undang (RUU), perbahasan, nak diluluskan,” katanya.
Seterusnya, masalah kepadatan penduduk di Parlimen Sungai Petani dan Merbok mencecah 500,000 penduduk, sudah tentunya ada isu kesesakan jalan raya.
“Isu pendidikan, dan peluang pekerjaan juga antara ‘forte’ utama saya, perlu ada akses pendidikan ‘matching’ dengan peluang pekerjaan masa depan,” katanya.