JEMPOL: Esports MedicA di bawah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan khidmat nasihat penjagaan kesihatan kepada komuniti e-sukan pada siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Seri Jempol di sini.
Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr Hammad Farhi Mohd Saudi berkata selaku rakan strategik utama jelajah AKM kali ini, Esports MedicA yang terdiri daripada barisan penasihat perubatan dalam pelbagai bidang, memberikan maklumat berkaitan panduan asas bermain e-sukan dan permainan video secara sihat.
Katanya kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan komuniti seperti oftalmologi (berkaitan penyakit mata), otorinolaringologi (berkaitan penyakit telinga, hidung dan tekak), pembedahan kepala dan leher serta psikiatri.
“Antara perkara yang disampaikan berkaitan e-sukan dan kesihatan adalah berkaitan mental, postur, pendengaran dan penglihatan.
“Kumpulan pakar perubatan Esports MedicA USIM akan turut hadir di tapak program bagi memberikan khidmat nasihat kesihatan secara percuma kepada para pengunjung,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, pengasas Esports MedicA, Dr Zatul-‘Iffah Abu Hasan berkata, sedikit ketidakselesaan yang dirasai penggiat permainan dalam talian boleh membawa kepada komplikasi kesihatan.
Oleh itu beliau berkata penting bagi mereka yang terlibat dalam bidang itu untuk mendapatkan khidmat nasihat penyedia kesihatan.
“Selain itu, tabiat bermain permainan dalam talian yang sihat perlu diamalkan secara berterusan bagi memastikan rutin mereka tidak menjadi beban. Ini bukan sekadar kondisi mata, pendengaran dan kedudukan badan (postur), kami juga menangani kesihatan mental pemain,” katanya.
Selain bidang kesihatan, USIM turut mengadakan program latihan keusahawanan pelancongan digital produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) B40 dan Orang Asli pada jelajah AKM kali ini, bertujuan melahirkan usahawan dan membantu komuniti tersebut menambah pendapatan. – BERNAMA