HomeSukanE-sukanMamaJess tangkis stereotaip kaum hawa tak setanding lelaki dalam 'gaming'

MamaJess tangkis stereotaip kaum hawa tak setanding lelaki dalam ‘gaming’

PERSONALITI e-sukan, Jessica Chua berharap lebih ramai lagi wanita terlibat dalam dunia permainan video dalam talian (gaming) dan menjadi pemain profesional.

Jessica atau lebih dikenali sebagai MamaJess, 35, yang bersaing secara kompetitif dalam Mobile Legends: Bang Bang! (MLBB) pada awal kariernya mengakui bahawa, jumlah penglibatan kaum wanita dalam e-sukan ketika ini agak terbatas.

MamaJess tidak menolak kemungkinan, antara punca penghalang penglibatan tersebut disebabkan persaingan kuat bersama kaum lelaki, selain khuathir berdepan dengan kecaman sekiranya tidak menunjukkan prestasi baik.

Asing penglibatan e-sukan antara lelaki dan wanita

MamaJess

Justeru, MamaJess berpendapat, e-sukan perlu diasingkan antara lelaki dan wanita dengan mengambil kira perbezaan fizikal dan cara pemikiran.

Apatah lagi, katanya, pengasingan itu mampu memberi keyakinan dan galakan kepada wanita untuk bersaing sesama kaum.

“Oleh itu, barulah wanita ada keyakinan untuk masuk dalam tournament (pertandingan) kerana berlawan bersama wanita lain. Mereka akan rasa perlawanan itu menjadi seimbang.

“Selepas itu, mereka boleh secara perlahan-lahan untuk bercampur dengan lelaki jika mahu lebih cabaran. Dengan cara itu, mungkin mereka akan lebih yakin untuk menyertai MPL (Liga Profesional Mobile Legends) atau M Series.

“Tetapi, buat permulaan, kita harus membina keyakinan kepada wanita terlebih dahulu sebelum bersaing dengan lelaki,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Wanita golongan kuat

MamaJess bersaing dalam MLBB pada awal kemunculannya. -Foto: Instagram mamajess520

Bekas pegawai bank yang mula terkenal dengan nama Free Fire pada awal kemunculannya itu berkata, stereotaip bahawa kaum wanita tidak sesuai berkecimpung dengan dunia gaming bukan sahaja dibangkitkan oleh kaum lelaki, malah golongan wanita sendiri tidak terkecuali.

Sebagai pemain profesional, MamaJess berkata, dia tidak akan sesekali mengendahkan atau mengambil hati dengan komen-komen toksik, yang mengecam kebolehan wanita untuk bermain permainan video dalam talian.

Sebaliknya, katanya, dia akan mempersoalkan semula pihak yang mengecamnya dengan cara tersendiri, dengan harapan ia bakal membuka minda mereka supaya tidak memandang rendah ke atas wanita.

“Saya akan bertanya semula kepada individu itu, adakah kehidupan perempuan hanya perlu memasak, mencuci baju dan tidak boleh bekerja?

“Jangan hanya berfikiran negatif yang mana kewajiban perempuan cuma perlu duduk di rumah. Di Malaysia, ramai wanita yang perlu bekerja untuk menanggung keluarga, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya yang turut memperoleh pendapatan menerusi e-sukan.

Tegas MamaJess, wanita disifatkan sebagai golongan yang kuat berikutan kemampuan untuk melakukan pelbagai tugas dalam satu-satu masa, termasuk menjaga anak, memasak dan mengemas rumah.

“Walaupun kita main game, tapi otak kita juga akan terfikir perkara lain. Jadi, ini yang saya katakan wanita sangat kuat dan kenapa wanita tak boleh multitask ketika bermain game?

“Jadi, jangan rasa orang lain akan pandang rendah ketiika anda bermain game. Mungkin anda lebih baik sebab wanita Malaysia dilihat semakin kuat.

“Banyak tournament melibatkan wanita sedang membangun. Kita ada muka baharu untuk golongan wanita growing up,” katanya.

Carutan sebagai normal

MamaJess (tiga dari kiri) menjadi salah satu tetamu jemputan, ketika konvensyen EsportsCon Malaysia 2024 yang berlangsung di Spacerubix, Puchong, Selangor pada 6 Januari lalu. -Foto: mysukantv

Ketika ditanya sama ada budaya mencarut dalam komuniti gaming boleh diterima, MamaJess menyifatkan perkara itu sebagai normal yang turut diaplikasi dalam dunia sebenar.

Meskipun mengakui budaya tersebut sebagai tidak sihat, namun katanya, masyarakat harus menerima ia merupakan cara hidup sebenar rakyat Malaysia.

“Seseorang pemain itu selalunya mempunyai personaliti sama tidak kira sama ada di dunia sebenar dan ketika streaming. Itu (carutan) adalah ayat-ayat sebenar yang biasa diungkap ketika berbual dengan rakan mahupun ketika bermain game.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa budak-budak lebih muda akan belajar apa yang kita buat. Jika kita mahu tukar cara hidup, kita juga perlu menukar cara percakapan kita dengan orang lain,” ujarnya.

Utamakan pelajaran anak

MamaJess akan memastikan pelajaran anaknya tidak terjejas, meskipun terlibat dalam dunia ‘gaming’, – Foto: Instagram mamajess520

Ibu tunggal itu berkata, anak lelakinya yang berusia 8 tahun menjadikan dirinya sebagai idola ketika bermain permainan video dalam talian.

Namun begitu, dia tetap menjadikan pelajaran anaknya sebagai keutamaan, yang mana pengurusan masa akan dipastikan dibuat dengan betul.

Katanya, anaknya hanya akan dibenarkan untuk bermain permainan video sebaik selesai menyiapkan kerja sekolah.

“Saya selalu mengingatkan anak saya, bahawa sebagai streamer, kita kena baca komen netizen dan bijak balas ayat-ayat mereka. Oleh itu, dia perlu belajar bersungguh-sungguh supaya boleh jadi streamer sama seperti saya.

“Namun, apabila dia bosan baca buku, dia perlu ‘manisan’ sedikit. Kalau zaman dulu selepas habis baca buku, orang tua kita akan bagi gula-gula. Zaman sekarang ni kanak-kanak suka handphone untuk tengok YouTube dan main game,” katanya.

Author

Pilihan Editor