AMPANG: “Anwar ibarat kisah si pengembala kambing yang suka menipu, akhirnya tiada siapa percaya apabila harimau datang baham semua kambingnya,” seloroh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat pemotongan gaji dan elaun Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Mahdzir mengingatkan semula cerita teladan zaman kanak-kanak ketika di bangku sekolah iaitu kisah Si Pengembala Kambing dan Harimau yang meminta tiga kali pertolongan orang kampung dengan dakwaan kambing-kambing belaan dia dibaham harimau.
“Kali pertama menjerit meminta tolong, orang kampung percaya dan datang membantu, si pengembala seronok melihat orang kampung tertipu.
“Kali kedua dilakukan perkara yang sama, akhirnya apabila kali ketiga harimau muncul betul-betul dan membaham kambing-kambingnya, dia jerit tolong-tolong harimau datang tiada orang percaya.
“Jadi begitulah analogi apabila Anwar kata berhasrat potong gajinya jika jadi PM,” sindir Menteri Pembangunan Luar Bandar pada sidang media Majlis Ramah Mesra Bersama Pemaju Masyarakat RISDA (PMR).
Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Dalam pada itu, Mahdzir ketika ditanya pendapatnya mengenai permintaan parti Warisan yang mahu calon Perdana Menteri ke-10 adalah anak jati Sabah, katanya sebarang keputusan akan dibuat selepas Barisan Nasional (BN) menang PRU15 nanti.
Beliau berkata, begitu juga cadangan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri iaitu dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak jika BN menang.
“Selepas menang, semua cadangan dibuka sama ada untuk calon TPM atau PM,”katanya.