KUALA LUMPUR: Pemimpin agama dan badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan lapan syor dalam deklarasi bagi melaksanakan pembaharuan dalam sistem demokrasi parlimen mengikut raja berperlembagaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Pengerusi Deklarasi Pemimpin Agama dan NGO Agama Menjelang PRU15, Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, serahan deklarasi tersebut akan dibuat pada 27 Oktober terhadap 12 Ketua Parti Politik yang akan bertanding dalam PRU15 mendapat sokongan 29 kumpulan NGO pelbagai agama ingin mewakili lima juta bakal pengundi di PRU15 pada 19 November ini.
“Kami akan serahkan esok dengan memberi tempoh dua minggu untuk maklum balas. Edaran akan dibuat kepada semua 13 utama parti politik iaitu Presiden UMNO, PAS, PKR, BERSATU, PEJUANG, MCA, MIC, Amanah dan Setiausaha Agung DAP.
“Kami juga akan melakukan serahan deklarasi kepada beberapa pemimpin utama negara iaitu Perdana Menteri (caretaker), Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis penyampaian Deklarasi pemimpin dan NGO pelbagai agama menjelang PRU15 di Adamson Hotel, Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Lapan penegasan deklarasi tersebut merangkumi, pertamq, menyeru pemimpin politik negara menghormati keluruhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. Kedua, pemimpin politik yang dipilih mengetuai kerajaan mengamalkan konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legaslatif dan Kehakiman dengan telus.
Seterusnya, pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya Negara dan Peguam Negara bebas dari pengaruh eksekutif. Deklarasi keeempat pula, semua penguatkuasaan institusi dan agensi awam bebas, tegas dan integriti yang bebas pengaruh Eksekutif. Kelima, pengundi diberi maklumat yang maklumat dan fakta yang cukup dari semua pihak yang bertanding pada PRU15.
Keenam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihan raya yang telus, bersih dan adil pada PRU15. Ketujuh, cadangan dianjurkan debat terbuka di antara calon-calon parti politik yang bertanding dengan mengemukakan kelebihan manifesto masing-masing. Terakhir sekali, parti politik meletakkan calon yang berintegriti bebas rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Jamaludin, masalah rasuah dalam negara yang kini digelar kleptokrasi di seluruh dunia dapat diselesaikan sebanyak 90 peratus sekiranya parti politik melaksanakan lapan deklarasi ini.
Selain itu, kumpulan ini juga menyeru seluruh pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 19 November ini untuk memberi sokongan kepada calon-calon dan parti politik yang menyokong lapan syor deklarasi yang telah dikemukakan untuk mencapai ke arah pembaharuan landskap politik negara.