KUALA LUMPUR: Golongan belia mahu kerajaan mempertimbangkan perluasan infrastruktur jaringan telekomunikasi Generasi Kelima atau 5G, memperkembangkan sektor ekonomi gig dan peningkatan gaji minimum dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.
Presiden Kelab Belia Prihatin, Luqman Hakim Md Zim berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan penyediaan infrastruktur berkenaan secara menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar bagi merancakkan sektor ekonomi digital yang kini mula dipelopori golongan belia.
Beliau berkata, langkah itu mampu merapatkan jurang pendapatan memandangkan kemudahan jaringan berkenaan ketika ini lebih terfokus di kawasan bandar.
“Saya rasa kerajaan perlu memanfaatkan ekonomi digital ini dan memberikan infrastruktur yang menyeluruh agar negara mampu meningkatkan daya saing dalam genarasi belia sekali gus merancakkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan harus memperkembangkan sektor ekonomi gig dengan bukan sahaja memberi peluang kepada penghantar barangan atau p-hailing tetapi juga melibatkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kerajaan seharusnya memperluaskan lagi sektor ekonomi gig ini dengan mempromosikan pekerjaan yang melibatkan pekerja berkemahiran tinggi seperti pereka grafik, pereka animasi, coding dan sebagainya,” katanya.
Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Diana Abdul Wahab turut menyarankan kepada kerajaan untuk mengkaji masalah over-education yang menyebabkan sesetengah golongan belia dan graduan yang tidak bekerja dalam bidang yang dipelajari di universiti tetapi memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig seperti p-hailing.
“Sebagai contoh, graduan kejuruteraan tetapi bekerja dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang dimiliki oleh graduan tersebut. Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan tersebut selama tiga hingga empat tahun di universiti untuk mendapatkan kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan harus mengenal pasti lompong dalam pasaran kerja yang menyebabkan banyak berlaku over-education dan usaha yang paling berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi dapat digunakan untuk pembangunan negara.
Selain itu, Diana mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula gaji minimum yang wajar kepada golongan belia dengan memberi insentif khusus kepada perniagaan kecil dan sederhana dan berfokuskan pengambilan pekerja tempatan.
“Jika kita mampu berikan gaji bermaruah kepada belia tempatan, saya pasti ramai yang sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan, dan sebagainya.
“Kita tidak mahu lambakan pekerja asing atas alasan sukar untuk mencari warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan. Ini merupakan asalan sesetengah majikan yang memanipulasi pekerja asing dengan memberikan gaji yang terlalu rendah,” katanya. -BERNAMA