CYBERJAYA: Majlis Pilihan Raya parti Berjasa mengenal pasti 40 calon berkredibilliti untuk menang atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya Berjasa, Ir Lukman Al-Hakim berkata, kesemua calon itu terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan.
“Calon-calon ini terdiri daripada ketua jabatan kementerian, doktor pakar, pensyarah universiti, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) & multinasional (MNC) serta beberapa teknokrat dan individu ternama yang lain.
“Berjasa sentiasa konsisten dengan naratif mengembalikan maruah dan keunggulan Malaysia di persada dunia.
“Impian Nasional Berjasa 2040 sebagai visi Malaysia yang baharu sentiasa menjadi destinasi utama parti ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan penyertaan Berjasa dalam GTA adalah satu strategi taktikal PRU15 dan ia disambut baik oleh pelbagai pihak berpengaruh.
Jelasnya, PRU15 merupakan satu langkah penting untuk Berjasa terus mengorak langkah kehadapan di arena politik tanah air.