HomeGaya HidupChong Wei teruja jumpa kembar versi patung lilin di Singapura

Chong Wei teruja jumpa kembar versi patung lilin di Singapura

CYBERJAYA: Satu pengiktirafan buat bekas pemain badminton negara, Lee Chong Wei apabila patung lilin berbentuk figura dirinya akhirnya dilancarkan oleh Madame Tussauds Singapura, hari ini.

Para peminat khususnya di Asia Tenggara kini turut berpeluang berfoto dengan patung lilin berkenaan di Singapura sebelum ia diabadikan di ‘kediaman tetap’ di Hong Kong.

Menariknya, Chong Wei menyumbangkan jersi rasminya daripada persembahan terakhir Olimpik di Rio 2016, sekali gus menjadikan patung lilin itu kelihatan lebih istimewa.

Pada masa sama, pemain yang pernah mencatat rekod sebagai pemain badminton terbaik selama 349 minggu itu turut menzahirkan keterujaannya ketika melihat figura patung tersebut.

“Saya sangat teruja akhirnya dapat berkongsi patung lilin saya bersama peminat dari seluruh dunia.

“Pasukan di Madame Tussauds telah memerah keringat untuk menjayakan usaha itu. Mereka sungguh teliti dalam menjalankan tugas mereka untuk ‘mencipta semula’ saya, dan saya amat menghargai peluang dan penghormatan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Patung lilin jaguh badminton Malaysia dipamerkan untuk paparan terhad di Singapura dan bakal dipindahkan secara kekal ke Madame Tussauds di Hong Kong pada suku pertama 2023.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Madame Tussauds Singapura, Steven Chung berkata, pihaknya turut berbangga kerana diberi kesempatan menjadi tuan rumah kepada patung lilin Lee Chong Wei.

“Jaguh sukan adalah individu yang luar biasa. Mereka memiliki aura unik yang mampu menawan hati peminat dan memberi inspirasi kepada generasi muda dari seluruh dunia.

“Kami berbangga kerana dipilih sebagai Madame Tussauds pertama yang mempamerkan Lee Chong Wei, salah seorang figura tersohor di rantau ini, di Singapura, di mana beliau akan berdiri sebaris dengan gergasi-gergasi dalam ‘Dewan Kemasyhuran Sukan’ kami sendiri,” ujarnya.

Bagi para peminat yang ingin melihat sendiri figura patung lilin Chong Wei, anda boleh membeli tiket di www.madametussauds.com/singapore sebelum ia berlepas ke Madame Tussauds Hong Kong pada suku pertama 2023 untuk paparan kekal.

Author

Pilihan Editor