HomeBeritaPolitikCharles Santiago, DAP tidak hormat keputusan Agong - Penyelidik

Charles Santiago, DAP tidak hormat keputusan Agong – Penyelidik

KUALA LUMPUR: Penyelidik Kepentingan Awam, Muhammad Zaki Omar menyelar tindakan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago dari DAP yang dilihat mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen.

Jelas beliau, tindakan itu menunjukkan Santiago dan DAP tidak menghormati, perkenan Agong dalam melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kami di pihak penyelidik kepentingan awam melihat Charles berniat untuk mencabar perkenan Baginda.

“Agong pastinya telah banyak melakukan pertimbangan, telah merujuk banyak pihak, mengapa baginda berkenan untuk melaksanakan PRU sebelum berakhir November tahun ini.

“Kita melihat perlunya kerajaan yang stabil dan kuat ketika wabak dan bencana melanda negara dan kita perlu ambil iktibar daripada banjir yang berlaku akhir 2021.

“Akhirnya memaksa NGO turun membantu rakyat ketika kerajaan lambat dan bercelaru dalam membuat keputusan di saat genting,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau mengulas tindakan Santiago menfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri Isnin lalu.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan PRU15.

Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Dalam pada itu, Zaki berpandangan oleh kerana Charles tidak boleh mencabar Agong secara langsung, maka menjadikan PM dan SPR sebagai alasan untuk disasarkan saman pemula.

“Pada kami, daripada konsep “Separation of power; executive, legislative and judiciary” saman pemula ini sebenarnya tidak masuk akal dan tidak perlu dilayan.

“Tidak wajar untuk diteruskanpun, sewajarnya ditolak, kita perlu kerajaan kuat dan stabil pada waktu ini ketika berkemungkinan berhadapan dengan satu situasi genting dan membebankan pada masa terdekat.

“Perkara ini diingatkan pakar bencana mungkin akan berlaku pada penghujung tahun dan mungkin lebih teruk dan getir.

“Macam mana kita nak luluskan bantuan kalau kerajaan masih bercelaru dari segi buat keputusan dan banyaknya perpecahan khususnya dari PN dalam kerajaan.

“Jika PRU ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan, sebenarnya ia tidak membantu rakyat dan menjadikan kerajaan sedia ada  bercelaru, berpecah dan semakin lemah serta tidak berkesan dalam membantu rakyat.

“Jika ada mana-mana parti tidak bersedia untuk terlibat dalam PRU, itu menandakan kita mempunyai kerajaan tidak kuat, tidak stabil ketika ini.

“Adakah rakyat terpaksa menanggung tempoh tiga bulan akan datang dalam keadaan berdepan situasi sukar?” soalnya.

Author

Pilihan Editor