HomeBeritaEkonomi negara hadapi masalah sekiranya Bajet 2023 tidak sempat lulus tahun ini

Ekonomi negara hadapi masalah sekiranya Bajet 2023 tidak sempat lulus tahun ini

CYBERJAYA: Perbelanjaan ekonomi negara tidak akan dapat diurus dengan baik bermula 1 Januari tahun depan sekiranya Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat tidak mendapat kelulusan sebelum tahun 2022.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr Barjoyai Bardai berkata, Bajet 2022 sebuah rancangan perbelanjaan kerajaan yang akan mula dikuatkuasakan pada setiap 1 Januari 2023.

Kelewatan kelulusan Bajet 2023 akan membawa kesan perbelanjaan mengurus kerajaan seperti pembayaran gaji penjawat awam, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, pemberian subsidi kepada pengeluar dan pengguna, dan pemberian dan serahan kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun.

Tambah Barjoyai, kelewatan kelulusan belanjawan akan mendatangkan kerugian masa disebabkan pertukaran kerajaan melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memerlukan dasar baru dibawa kerajaan baru untuk mengurus ekonomi negara.

“Belanjawan ini perlu dibentangkan dan dilulus untuk pelaksanaan. Bajet 2023 merupakan rancangan perbelanjaan untuk tahun 2023.

“Jika tidak sempat diluluskan walaupun dah dibentangkan tidak akan bermakna. Kerajaan baru melalui PRU15 perlu membentangkan belanjawan sekali lagi yang alan berbeza dari belanjawan hari ini. Menteri Kewangan mungkin berubah, perlu diluluskan Kabinet dan ahli Parlimen yang baru.

“Sekiranya tidak sempat diluluskan sebelum hujung 2022, pada 1 Januari 2023 negara kita mempunyai masalah kerana kakitangan kerajaan, mekanisme Kementerian-kementerian tidak mempunyai satu peruntukan yang diluluskan, tidak boleh dibelanja untuk tahun 2023 lagi sehingga Belanjawan diluluskan,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Menurut Barjoyai, Bajet 2023 amat penting untuk menampung kenaikan kos sara hidup kesan dari krisis ekonomi global tahun hadapan.

“Negara mengamalkan ekonomi terbuka dengan aktiviti import sebanyak 80 peratus meliputi perbelanjaan makanan sebanyak RM65 billion.

“Krisis ekonomi global tahun depan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan kesannya menaikkan kos makanan ini. Jadi ini pentingnya Bajet 2023 ini sekurang-kurangnya dapat membantu ringankan kos,” jelasnya lagi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 hari ini di Dewan Rakyat yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” dengan peruntukan RM372.3 billion.

Jumlah peruntukan pada belanjawan kali ini jauh lebih besar dari dua belanjawan lalu dengan peruntukan Bajet 2022 RM332 billion dan Bajet 2021 RM322 billion.

Author

Pilihan Editor