PELABURAN juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City sebanyak 51 juta pound sterling untuk membeli penyerang profilik, Erling Haaland dilihat sangat murah jika dibandingkan dengan kelas Haaland yang kini telah meledak tiga jaringan hattrik dalam tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri, Stadium Etihad.
Meskipun berdepan kritikan pada aksi debutnya ketika menentang pasukan Liverpool dalam perlawanan perisai Komuniti yang berakhir kekalahan 3-1 skuad Citizens pada awal Ogos lalu, penyerang berusia 22 tahun itu pantas menutup mulut pengkritiknya dengan dua jaringan pada perlawanan pembukaan musim 2022/2023 membenam pasukan West Ham.
Haaland meneruskan momentum sebagai mesin gol baharu skuad bimbingan Pep Guardiola pasca penyerang lagenda mereka, Sergio Aguero, menerusi jaringan satu gol ketika bertandang di Newcastle dan Wolves.
Ketajaman Haaland sebagai penyerang utama City semakin jelas apabila beliau merobek gawang Nottingham Forest dengan mencatatkan hatrik pertama bersama kelab baharunya di Stadium Etihad.
Kecemerlangan Haaland di pintu gol membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan Liga Perdana Inggeris pada bulan Ogos dengan 9 Ogos menerusi lima penampilan.
Tidak cukup dengan prestasi seperti ini, kerakusan penyerang dari Norway itu menjaring gol diteruskan melalui tiga gol dalam 2 perlawanan di Liga Juara-Juara Eropah serta menambah satu lagi rekod hattrik ketika bertembung Crystal Palace.
Terkini, mangsa terbaru Haaland adalah seteru kelabnya dari Manchester, dengan jaringan tiga lagi gol bersama 2 hantaran bantuan untuk membantu City mudah benam Manchester United 6-3.
Tugas bekas penyerang Borussia Dortmund itu belum selesai ketika musim baharu 2022/2023 baru sahaja memasuki perlawanan ke-8.
Namun, jika momentum ini diteruskan beliau dengan gandingan serasi bersama arkitek sensasi City, Kevin De Bruyne, tidak mustahil penyerang muda itu mampu memecahkan rekod jaringan 34 gol dalam semusim yang dipegang oleh bekas penyerang United, Andy Cole serta lagenda Newcastle United, Alan Shearer.