PETALING JAYA: Lambakan taikun perniagaan dan syarikat perunding berpengaruh mendorong seorang wanita ‘besi’, Datuk Faridah Hanim Haron mahu tampil mencari titik kelainan berkongsi kepakaran ilmu tersendiri yang dimilikinya dengan usahawan.
Ini kerana, pengalaman hampir 20 tahun di syarikat Petronas Leadership Centre sebelum ini mahu diguna pakai sebaiknya di kelas perniagaannya di bawah syarikat dinaungi Annems Leadership Solution Sdn Bhd (ALS).
Presiden ALS yang merupakan syarikat perunding dan latihan pembangunan organisasi serta kepimpinan, itu berkata kepakarannya membantu melonjakkan bidang perniagaan supaya lebih berdaya saing, kekal bertahan dan dermawan.
Katanya, usahawan cuma perlu tahu apa yang diperlukan dan mahukan, selain mencari kumpulan atau circle yang betul.
Pendekatan paling berkesan yang digunakan wanita yang mesra dipanggil Ibu Hanim itu juga adalah komunikasi seperti keluarga antara ibu dan anak-anak.
“Soal sentimen yang mungkin diwujudkan sesetengah tenaga pengajar ini sehingga menyebabkan rasa tidak senang. Bagi saya mereka di luar sana sendiri perlu faham keperluan mengikuti kelas yang disediakan ini. Pastikan usahawan berada dalam ruangan yang betul.
“Kalau nak cari program latihan, kena tahu apa yang dimahukan, kena tanya kawan-kawan dalam circle yang betul.
“Apabila mengikut metodologi Ibu, mereka secara langsung tidak sedar secara perlahan melaksanakan strategi, berubah perlahan ke arah kepimpinan, memberi inspirasi kepada pengikut, ibarat ‘subconcious experience’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Malam Aspirasi Pejuang – Perjuangan Demi Cinta, bertemakan seni dan budaya Melayu di sebuah hotel terkemuka di sini.
Pada majlis berkenaan, seramai 121 usahawan Bumiputera berjaya mengikuti program Business Sustainability Solution (BSS) anjuran ALS, diraikan selepas melepasi program lima bulan, 16 hari dan sembilan malam.
Penganjuran program kali ke-12 itu melibatkan kumpulan usahawan pada tahap “Growth”, iaitu mereka yang sudah memiliki perusahaan masing-masing dan berhasrat mengukuhkan kedudukan di dalam pasaran.
Pada penganjuran itu, 10 syarikat diberikan penganugerahan khas antaranya Rising Star Award, Promising Brand Award, Industry Leader Award, Business Transformational Award, Highest Growth Award, Adi Sukma Award, Raden Sri Ayu Award, dan Pangeran Utama Award.
Sementara itu, Ibu Hanim turut menjelaskan, perbezaan metodologi antara ‘mentoring’ (inspirasi) dan ‘coaching'(pakar).
“Mungkin orang tak faham mentoring dan coaching, mentoring membantu dalam perniagaan dan meningkatkan jualan, memberi inspirasi kepada orang lain seperti Nelson Mandela.
“Coaching pula memberi ilmu, formula, strategi, yang mentor tak buat. Ia meliputi proses kepakaran, penting untuk menyampaikan ilmu, ada langkah dan cara yang tahu tentang kemahiran,” katanya.