SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan tidak meluluskan atau akan menerima pendaftaran Madrasah Darussolihin di Jalan Kebun, Shah Alam yang menjalankan pusat pemulihan yang tidak diwartakan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, keputusan itu berikutan premis berkenaan bukan berfungsi sebagai sekolah yang perlu mematuhi silibus dan kurikulum pendidikan Islam di Selangor.
Sebaliknya, katanya ia berfungsi dan beroperasi sebagai pusat pemulihan yang seharusnya diambil perhatian oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ini Madrasah Darussolihin pusat perlindungan bukan sekolah. Tak berdaftar… nak daftar pun kita tak boleh terima tak ikut modul JAIS.
“Madrasah ni tempat belajar, mesti ikut kurikulum, tapi madrasah tak buat ikut kurikulum kita, itu sebab kita tak boleh terima, pada masa yang sama tidak ada undang-undang yang boleh menghalang menggunakan nama madrasah.
“Jadi, walaupun tidak berdaftar dengan JKM, JKM kena ambil tindakan, macam mana boleh benarkan orang (pihak tertentu) ambil peranan dia untuk jaga rumah perlindungan?,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau juga menambah, pihak JAIS tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menghalang penggunaan nama madrasah kerana tidak ada peruntukan undang-undang daripada menghalang ia diguna pakai.
“Siapa boleh halang guna nama madrasah?. Madrasah tak ada dalam undang-undang orang tak boleh pakai.
“Kecuali disebut dalam undang-undang, penggunaan madrasah tidak boleh diguna melainkan untuk sekolah sahaja,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata, jika terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawah JAIS, pihaknya akui perlu memantau aktiviti dan pergerakan entiti itu, namun bukan bidang kuasanya untuk mengawal premis berkaitan.
“Saya tak jaga NGO. NGO berdaftar diletak bawah JAIS, ya, tapi nak kawal pusat perlindungan, NGO, pusat pemulihan, bukan saya,” katanya.
Sementara itu, beliau mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berikutan tidak berhubung dengan pihaknya jika madrasah terbabit dikendalikan organisasi berdaftar dengan agensi berkenaan.
“Kalau daftar (Pertubuhan Kebajikan Darussolihin di madrasah) bawah RoS, kenapa RoS tak refer (rujuk) pada kita?,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot berkata, setakat ini JKM belum ambil tindakan kerana madrasah berkenaan di bawah bidang kuasa jabatan agama.
Pengarah Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan Negeri Selangor, Nurul Azhar Husin pula mengesahkan pihaknya sedang menjalankan penyiasatan ke atas Madrasah Darussolihin dan tindakan sewajarnya akan diambil.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam ketika dihubungi MEDIA VARIASI enggan memberi sebarang komen mengenai bagaimana Madrasah Darussolihin boleh menjalankan pusat pemulihan tanpa daftar sejak 20 tahun lalu.