ANKARA: Sebuah jambatan menghubungkan Crimea dengan Rusia dilaporkan terbakar awal pagi Sabtu menyebabkan gangguan trafik, lapor Agensi Anadolu.
Rakaman dan foto yang dikongsi di media sosial memaparkan sebahagian jalan runtuh manakala gerabak kereta api di kawasan itu turut terbakar.
Saksi mendakwa berlaku letupan di jambatan yang terpanjang di Eropah itu sebelum ia terbakar.
Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan suruhanjaya negara dibentuk bagi menyiasat insiden berkenaan, lapor Agensi Berita Rasmi TASS memetik Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.
Sementara itu, penasihat kepada kepimpinan Crimea Oleg Kryuchkov menerusi Telegram mendakwa berdasarkan laporan awal tangki simpanan bahan api didapati terbakar.
“Kerja-kerja memadam kebakaran sedang dijalankan,” tambahnya.
Jambatan Kerch yang dilengkapi kemudahan jalan raya dan landasan kereta api itu menjadi laluan utama Rusia yang dibina selepas pengilhakan (aneksasi) Crimea pada 2014. – BERNAMA