ALOR SETAR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melakar kemenangan selepas berjaya menundukkan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-1 di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.
Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah lebih garang mengatur serangan dan berjaya menjaringkan gol menerusi Wanja Ronald Ngah di minit ke-11.
Gol terhasil daripada pergerakan cantik Wanjah yang berjaya memperdayakan pemain pertahanan JDT lalu merembat bola ke gawang gol Mohd Farizal Marlias.
Tersentak dengan itu, JDT mengatur serangan dan memperolehi gol penyamaan menerusi Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada minit ke-36 selepas berjaya melepasi perangkap outside.
Pada minit ke-47, JDT terpaksa akur untuk bermain dengan 10 pemain apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain pertahanan Rodney Celvin.
Bersambung babak kedua permainan, JDT menambah gol kedua menerusi Leandro Sebastian pada minit ke-60 selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti.
Walaupun pasukan pelawat yang dibimbing Hector Pablo Bidoglio terpaksa beraksi dengan 10 pemain, JDT terus menguatkan cengkaman dengan gol ketiga pada minit ke-79 menerusi Mohd Afiq Fazail apabila berjaya memanfaatkan kesilapan pertahanan tuan rumah sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 3-1 sehingga wisel penamat. – BERNAMA