KUALA LUMPUR: Single baharu bintang hip hop, Joe Flizzow berjudul ‘Satu Malam Di Temasek’ (SMDT) mendapat pengiktirafan kehormat atau ‘honorble mention’ bagi kategori Video Muzik Hip Hop terbaik pada International Music Video Awards (IMVA) di Budapest, Hungary.
Namun, menjadi tumpuan apabila video muzik berkenaan menampilkan Joe berani membawa kelainan dengan menyanyi dalam kubur.
Penerbit Eksekutif video muzik tersebut, Edwin Raj berkata, pihaknya ingin menerbitkan sesuatu yang belum pernah dibuat orang.
“Kita mesti cuba sesuatu sekali. Kami hantar video itu dengan pemikiran ‘belum cuba, belum tahu’.
“Kami gali sebuah kubur dan Joe menyanyi dalam kubur itu. Ia memang gila!
“Ini juga lebih artistik dan pesanan disampaikan sangat subjektif,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Pada masa sama, Edwin turut mengakui bahawa faktor kemenangan klip video SMDT adalah perbezaan yang ditampilkan serta keberanian melakukan sesuatu di luar ruang selesa.
Jelasnya, pengiktirafan pada IMVA itu dianggap sangat berharga bagi syarikat yang menerbitkan produk muzik termasuk berkonsep hip hop.
“Kami sangat gembira dengan anugerah khas ini apabila SMDT meraih pengiktirafan bagi kategori video muzik hip hop terbaik.
“Bagi pihak penerbitan, saya harap mereka bangga dengan anugerah ini dan akan terus menghasilkan karya hebat.
“Ini suatu penghargaan dapat bekerjasama dengan anda semua,” ujarnya.