KUALA LUMPUR: Teruja, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), kata pengguna.
Sudah tentu, ramai bersetuju DASH yang dibuka bermula 12.01 tengah malam Jumaat lepas menyingkatkan masa perjalanan dari beberapa lokasi ke lokasi yang lain, namun khuatir kadar tolnya yang akan dikenakan kelak tinggi, menyebabkan ramai mengelak untuk menggunakannya sebagai jalan alternatif.
Penjawat awam Siti Adabiyah Sulaiman, 32, mengakui lebuh raya itu menjadikan pemanduannya dari Sungai Buloh ke ibu negara lebih selesa selain menjimatkan masa perjalanan dari 90 minit kepada 60 minit pada waktu puncak.
“Kesesakan di Plaza Tol Rawang Selatan dan Jalan Duta dapat dielakkan. Saya harap harga tol yang dikenakan nanti pada kadar berpatutan dalam menggalakkan penggunaannya,” katanya kepada Bernama.
DASH yang dibina sejak Ogos 2016 menghubungkan Puncak Perdana dan Shah Alam, Selangor ke Penchala, Kuala Lumpur dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39 peratus, Jalan Sungai Buloh (33 peratus) dan Persiaran Surian (43 peratus).
Selain itu ia dijangka menjadi penyelesaian penyuraian trafik di kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara dan Elmina di Selangor, selain sepanjang Shah Alam ke Damansara, Selangor.
Peniaga Steven Lee, 40, pula lega kerana mempunyai satu lagi jalan alternatif dari kediaman di Damansara Perdana ke tempat kerja di Kota Damansara yang menjimatkan masa dari 15 minit kepada 5 minit.
Juruukur bahan Hanis Amirah Hasnan, 34, yang menggunakan lebuh raya itu bermula dari Kota Damansara ke Penchala juga berharap kadar tol dikenakan pada harga berpatutan agar tidak membebankan pengguna.
Bagaimanapun, bagi penulis kandungan Arini Salleh, 31, keadaan trafik disifatkannya sangat teruk di susur keluar Puncak Perdana pada waktu puncak di sebelah petang disebabkan cerutan dari tiga arah kepada satu jalan di Persiaran Mokhtar Dahari.
Penjawat swasta Faris Fuad, 31, turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi trafik di susur keluar Puncak Perdana yang dikhuatiri akan memburukkan aliran kenderaan di kawasan itu dan tidak mencapai matlamat sebagai penyelesaian penyuraian trafik di Persiaran Mokhtar Dahari.
“Sekiranya perjalanan lancar dalam lebuh raya sahaja tetapi bertambah sesak apabila menyambung perjalanan di jalan raya biasa, jadi masa perjalanan akan sama sahaja, sama ada guna lebuh raya atau tidak,” katanya yang menetap di Setia Alam.
Bermula 14 Oktober lepas hingga 30 November ini, pengguna DASH masih berpeluang untuk menikmati perjalanan secara percuma. – BERNAMA