LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis melaksanakan bantuan evakuasi perubatan (Medevac) bagi membawa seorang pesakit kritikal sekitar jam 3 petang, semalam.
Maritim Malaysia menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, bantuan Medevac itu dimohon oleh pihak Hospital Sultanah Maliha Langkawi bagi pesakit Roshdi Abd Ghani, 52, yang mengalami usus terbelit dan memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Pesakit dibawa menaiki bot Perkasa 1228 Maritim Malaysia dari jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Bukit Malut ke Jeti Kastam Kuala Perlis dengan diiring tiga pegawai perubatan, seorang petugas kesihatan serta seorang ahli keluarga pesakit,” maklumnya.
Pelaksanaan bantuan tersebut membuktikan Maritim Malaysia komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat.
Justeru, Maritim Malaysia mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.