BANGI: Studio Kembara menghargai peranan dan sumbangan media dalam mengangkat industri seni tanah air yang diibaratkan sebagai penyebar maklumat paling jelas.
Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali berkata, peranan media sangat penting dalam menyebar dan mempengaruhi pendengar.
“Jika maklumat yang disebar perkara bagus, maka baguslah majulah rakyat istilahnya seperti mikrofon gelombang maklumat.
“Media sebagai penyambung lidah, apa yang disebar baik, dapat pahala, dapat ubah sesuatu jadi lebih baik dan sebaliknya berlaku jika yang disebar itu tidak baik.
“Kerana itu saya mengharapkan media melantunkan, sebarkan, buat naratif yang membantu yang positif agar pengaruhi rakyat ke arah lebih baik.
“Sama ada isu itu kontroversi atau tidak yang penting menghampiri naratif boleh menambah baik pembangunan industri perfileman negara,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Studio Kembara Bersantai dan Hargai Rakan Media di MZ D Tasik Hall, Bangi.
Studio Kembara meraikan 100 pengamal media, pempengaruh dan blogger yang dianggap nadi dan nyawa dalam perkembangan industri seni tanah air.
Pada majlis sama turut menyaksikan kumpulan Mohamed Fahmi Mohamed Nor berjaya memenangi tempat pertama dalam pembikinan parodi Mat Kilau dengan membawa pulang wang tunai RM10,000.
Tempat kedua pula membawa pulang wang tunai RM5,000, tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala 10 pemenang saguhati masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
Dalam pada itu, Abdul Rahma mengucapkan penghargaan kepada pihak yang memberi sokongan padu kepada filem Mat Kilau.
“Ia melakar sejarah tersendiri dan sepanjang sejarah Malaysia untuk orang Melayu, dengan enam juta penonton dan ada yang lebih enam kali ulangan.
“Kisah ini dibawa ke pembentangan Bajet 2023 dan ia amat membanggakan barisan yang terlibat.
“Ia memberi impak yang sangat besar terutama sekali kepada psikologi orang Melayu, mengubah persepsi terhadap pembikin atau pemain filem negara, jelas menghantar mesej bahawa kita masih mampu mengeluarkan hasil yang baik,” katanya.