KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon agar kerajaan China bekerjasama dengan kerajaan Malaysia membantu menyelamatkan mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar.
Usaha memohon kerajaan China bekerjasama dengan kerajaan Malaysia itu dibuat pihak MHO bersama Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islanmiah Malaysia (Al-Ehsan).
Permohonan tersebut dibuat melalui memorandum yang diserahkan mereka kepada Kedutaan China sekitar jam 10 pagi tadi.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengalami kesukaran mendapatkan bantuan daripada kerajaan Myanmar, untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih lagi terkandas dan terkurung di Myanmar.
Menurutnya, kerajaan Myanmar sehingga hari ini gagal dan enggan memberikan kerjasama membantu menyelesaikan masalah berhubung isu tersebut.
“Kita dimaklumkan bahawa kerajaan China dan Myanmar mempunyai hubungan sangat erat dari sudut ekonomi, bahkan pelabur terbesar dari Myanmar adalah daripada China. Oleh yang demikian, kita tahu bahawa China mempunyai pengaruh besar kepada Myanmar.
“Sekiranya kerajaan China bertegas memberikan nota bantahan, ‘memorandum of protest’, kepada Myanmar untuk menghentikan pemerdagangan manusia ini, sudah tentulah Myanmar akan bertindak balas untuk melepaskan rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa bahawa masih lagi ramai rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar akibat sindiket penipuan kerja.
Tambahnya, sindiket-sindiket yang sebelum ini beroperasi di Laos dan Kemboja telah membawa dan menyeludup masuk rakyat Malaysia dari sana ke Myanmar.
Tegasnya, ini membuktikan bahawa Myanmar telah menjadi destinasi pemerdagangan manusia yang terulung di rantau ini.