KUALA LUMPUR: Studio animasi tempatan, Monsta hari ini mengumumkan pelancaran satu lagi pengalaman mengasyikkan dalam mega-platform metaverse di Roblox yang dikenali sebagai Mechamato Robot Battle.
Ia merupakan ruang permainan dalam talian yang membolehkan peminat dan pemain meneroka dunia terbuka Kota Hilir, sebagaimana yang dilihat dalam Mechamato: The Animated Series sebelum ini.
Ketua Pegawai Operasi Monsta, Kee Yong Pin berkata, pelancaran permainan baharu di Roblox itu merupakan bukti komitmen Monsta dalam usaha menyelami ruang metaverse untuk memberi kepuasan kepada berjuta peminat sedia ada dan khalayak baharu dari seluruh dunia.
“Roblox adalah satu daripada platform terbesar dan paling pantas berkembang dalam metaverse. Kami sedar bahawa kanak-kanak kini menghabiskan banyak masa di platform tersebut.
“Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu dan mengasyikkan yang akan membuatkan mereka teruja, terutama bagi yang sebelum ini menyukai Mechamato: The Animated Series,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam permainan baharu tersebut, Kota Hilir sebuah bandar yang aman damai telah diserang oleh sekumpulan robot jahat dan ia memerlukan wira untuk bertempur serta menangkap kesemua robot jahat berkenaan.
Menerusi konsep ini, Monsta memberi lanjutan pengalaman daripada plot utama dalam cerita permainan baharu itu.
Mechamato Robot Battle akan membawa pemain menelusuri pengalaman dunia terbuka termasuk kedai maya barangan unik yang membolehkan pemain mencipta sendiri avatar mereka dan melengkapkannya dengan item ‘berjentera’ yang hebat.
Pemain juga akan dapat bertarung dan menangkap kumpulan robot jahat sebagaimana yang terdapat dalam Mechamato: The Animated Series. Lencana Boleh Dikunci atau Unlockable Badges merupakan token yang diperoleh menerusi pelbagai cabaran dan pencarian mini yang tersedia dalam permainan itu. – BERNAMA