AMPANG: Program pembangunan akar umbi dalam sukan bola sepak dan futsal dihasilkan oleh MOTA Akademi dijangka akan mengeluarkan produk yang sempurna iaitu dari tiga hingga lima tahun dari sekarang selepas bakat pelatih digilap oleh akademi berkenaan.
Presiden dan Pengurus Besar MOTA Akademi, Taufik Yaiyah berkata, latihan yang dibimbing oleh 40 jurulatih berpengalaman dan profesional di bawah akademi yang melatih 500 pemain akan menjadi generasi yang baik melalui pendedahan menyertai pertandingan dan modul latihan intensiti yang tinggi.
“Latihan dan program untuk pembangunan pelatih dibimbing 40 jurulatih berpengalaman dan profesional. Kualiti diletak pada latihan dengan intensiti yang tinggi yang dijanjikan kami kepada ibu bapa.
“Program pembangunan tersusun dengan baik dan kemas. Salah satu program Kejohanan Futsal MOTA Dalaman (KFMD) dengan mengadakan Kejohanan Piala Lautan Variasi 2022 pada penghujung November ini hasil kerjasama dengan pihak Lautan Variasi.
“Pertandingan didedahkan kepada pelatih yang berpontensi, kami akan gilap sampai pelatih dari MOTA Akademi ke MOTA FC. Pendedahan menyertai kejohanan ini untuk membawa mentaliti pemain bersaing,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI pada kejohanan bola sepak diadakan di Sayfol International School.
Kata Taufik, meskipun MOTA akademi baru berusia lima tahun, pelbagai pencapaian telah diraih dengan menjadi johan di peringkat negeri dalam bola sepak dan futsal termasuk menghasilkan seorang pemain yang bertaraf skuad pemain kebangsaan.
“Pencapaian terbaik MOTA adalah berjaya menghasilkan seorang pemain kebangsaan yang datang daripada produk MOTA. Pemain yang cukup kita kenali nama Diya telah bersama kami sejak berusia sembilan tahun sebelum MOTA ditubuhkan lagi banyak menyertai kejohanan.
“Selepas kami membuka MOTA akademi, pemain itu mengikuti program latihan kami. Sehingga beliau terpilih memasuki Sekolah Sukan Malaysia Pahang pada usia 13 tahun. Laluan yang disediakan oleh MOTA Akademi dengan latihan dan pendedahan yang kami berikan kepada beliau terpilih menyertai pasukan kebangsaan bawah 17 tahun.
“Secara berpasukan, pasukan futsal bawah 12 tahun kami menjuarai kejohanan futsal di Zon Kuala Lumpur dan layak ke peringkat kebangsaan sehingga meraih naib juara. Untuk bola sepak, pasukan bola sepak bawah 8 tahun MOTA FC menjadi juara kejohanan Super Rimau dan Piala Kuala Lumpur,” jelasnya.
Terdahulu, Lautan Variasi Sdn Bhd, yang merupakan sebuah syarikat telekomunikasi satelit telah menjalin kerjasama dengan Kelab Bola Sepak MOTA sebagai media rasmi dan tajaan bagi kejohanan peringkat Grand Final pada 27 November depn sebagai platform menggilap bakat baru.