MAIDUGURI: Nigeria pada Rabu mengumumkan akan mengeluarkan wang kertas baharu berikutan pelbagai cabaran termasuk risiko pemalsuan dan penyorokan, lapor Agensi Anadolu.
Gabenor Bank Negara Nigeria, Godwin Emefiele berkata pada sidang media, penyorokan dan pemalsuan wang kertas memberi kesan negatif kepada kestabilan ekonomi terbesar di Afrika itu.
“Peningkatan kemudahan dan risiko pemalsuan terbukti hasil beberapa laporan keselamatan dan wang kertas yang disorok orang awam di luar bank perdagangan meningkatkan risiko terhadap kestabilan kewangan,” katanya.
Emefiele berkata, lebih 80 peratus mata wang dalam edaran di negara ini berada di luar bilik kebal bank.
Beliau berkata, wang kertas yang bakal terjejas termasuk 100, 200, 500 dan 1,000 naira dan pengedaran wang kertas baharu bermula dari 15 Dis.
Penggunaan wang kertas lama akan tamat tempoh pada 31 Jan 2023. – BERNAMA