CYBERJAYA: Pakar ekonomi, Professor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyarankan kerajaan menangani krisis ekonomi yang akan datang melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Beliau ketika dihubungi MEDIA VARIASI pada Selasa, berharap belanjawan kali ini akan mempunyai matlamat jangka panjang dan jangka pendek.
Menurutnya ini kerana tahun 2023 akan menjadi tahun yang mencabar kepada seluruh dunia termasuk Malaysia di mana kos sara hidup dianggarkan akan meningkat dengan banyak.
“Jadi bagaimana nak menangani? Kita harapkan kerajaan memikirkan subsidi terus ke dalam harga barang khususnya harga barang yang penting, keperluan hidup asas, misalnya beras, minyak masak, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, gula dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau menyarankan kerajaan menstrukturkan semula kerana kerajaan tidak banyak upaya memberikan subsidi, ditambah dengan kerajaan sudah mengeluarkan hampir RM80 bilion subsidi.
“Jadi kalau mereka nak tambah, mungkin tak boleh, jadi kita perlu strukturkan semula.
“Misalnya subsidi petrol RM36 bilion sekarang kita boleh cuba kurangkan dengan memulakan program subsidi bersasar kepada kumpulan yang memerlukannya, iaitu orang yang menggunakan motosikal dan kereta yang berkuasa rendah.
“Itu penting, yang perlu ditonjolkan, supaya rakyat tahu bahawa kerajaan benar-benar ikhlas memperjuangkan mereka,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memulakan segera usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan mengumumkan satu sasaran baharu.
“Kalau kerajaan boleh mengumumkan satu sasaran baharu, katalah dalam masa lima tahun, pendapatan purata atau pendapatan menengah semua isi rumah mestilah melebihi RM5,000.
“Ini boleh jadi satu pendorong kepada semua orang untuk mencapai matlamat ini dan kalau dapat dicapai, kita akan benar-benar keluar daripada jerat kelas menengah yang kita rasai hari ini,” ujarnya.